Kawasan Pekan Langgar dilanda banjir kilat, trend air menaik

Kawasan Pekan Langgar dilanda banjir kilat, trend air menaik

am@hmetro.com.my

Alor Setar: Beberapa kawasan kampung di Pekan Langgar dekat sini mula dilanda banjir kilat susulan hujan lebat pagi tadi menyebabkan air Sungai Langgar melimpah.

Tinjauan di Jalan Makam Diraja Langgar, di sini mendapati, paras air menunjukkan trend menaik malah penduduk sudah bersiap sedia mengangkat barangan berharga di rumah masing-masing.

Selain itu laluan ke Kampung Alor Setol, Masjid Tunku Kalsom juga turut dipenuhi air.

Penduduk, Omar Dani Al Amin Ibrahim, 39, berkata, air sungai yang terletak kira-kira 10 meter dari rumahnya di Jalan Makam naik sedikit demi sedikit pada jam 12 tengah malam tadi.

Katanya, hujan lebat sekitar jam 6 pagi tadi menyebabkan jalan di hadapan rumahnya dipenuhi air akibat limpahan sungai.

“Kali terakhir kawasan ini dilanda banjir pada 2010 dan ketika itu paras air melepasi pinggang.

“Namun banjir kali ini tak tahu nak kata la sebab air semakin naik dan kami penduduk di sini sudah bersiap sedia mengangkat barangan kerana bimbang air terus naik,” katanya ketika ditemui di lokasi banjir hari ini.

Menurut Omar Dani, beberapa kawasan pondok di situ iaitu Pondok Dato Haji Hussain, Pondok Haji Lah, Pondok Tasak yang dianggarkan lebih 50 rumah turut dinaiki air.

Katanya, ada yang sudah melepasi paras lutut, pinggang dan dada malah ada penduduk yang sudah menghubungi pasukan penyelamat untuk mendapatkan bantuan.

“Tiga jalan utama di sini sudah dinaiki air dan hanya boleh dilalui oleh lori atau pacuan empat roda kerana kenderaan biasa atau motosikal sudah tidak boleh dilalui,” katanya.

Penduduk Pondok Dato Haji Hussain, Abdul Manap Measar, 61, berkata, boleh dikatakan kawasan itu kerap dilanda banjir tetapi paling teruk berlaku pada 2010.

Katanya, namun banjir kali ini juga agak teruk kerana air masuk dengan laju hinggakan dia tidak sempat mengangkat barangan termasuk peti ais, katil dan perabot.

“Saya tak sangka air akan masuk dengan cepat kerana biasanya kalau berlaku pun hanya banjir kilat biasa saja tapi ni sampai masuk air cepat.

“Saya dan isteri, Wan Mahsom Wan Ahmad, 57, serta anak perempuan hanya sempat mengangkat apa yang kami mampu capai sahaja.

“Kalau diarahkan untuk berpindah, saya akan pindah tapi cuma bawa barang yang ada saja la kerana yang lain sudah tenggelam dalam air,” katanya.

Menurutnya, air sungai masuk sejak semalam tetapi sedikit demi sedikit dan mula memenuhi rumah pagi tadi selepas hujan lebat.

Katanya, kawasan ini dulu ramai penduduk yang tinggal di pondok tetapi sebahagiannya sudah pulang ke rumah masing-masing dan hanya tinggal 12 rumah yang masih berpenghuni.

“Kami kalau nak keluar pun kena guna kenderaan pacuan empat roda kerana tiga laluan utama di kawasan ini sudah dinaiki air, malah ada yang sudah paras pinggang,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top