nurul.hidayah@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengesyorkan kepada majlis agama negeri lain untuk membuka Rumah Perantaraan seperti kerjasama yang diadakan oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dengan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, pembukaan Rumah Perantaraan seperti mana di Kampung Bharu, di sini, adalah inisiatif yang baik bagi membantu bekas penagih dadah untuk terus pulih.
“Pembukaan Rumah Perantaraan ini sejak tahun lalu adalah antara pendekatan yang baik dibuat oleh AADK dengan kerjasama MAIWP.
“Ia menunjukkan betapa serius KDN dalam memastikan pasukan kami benar-benar membantu mereka yang selesai menjalani proses pemulihan di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) untuk terus pulih.
“Disebabkan itu, kami menggalakkan majlis agama di negeri lain mengambil contoh yang dibuat oleh MAIWP yang bekerjasama dengan AADK dalam Rumah Perantaraan ini sebagai model terbaik untuk dimanfaatkan dalam membantu pemulihan klien,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyerahkan sumbangan kepada 59 klien dalam Program Singgah Sahur AADK di Rumah Perantaraan, Kampung Bharu, di sini, tengah malam tadi.
Turut hadir, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad.
Shamsul Anuar berkata, terdapat pelbagai program termasuk yang berunsur keagamaan didedahkan kepada klien di Rumah Perantaraan itu.
“Menerusi kerjasama dengan MAIWP, banyak program dianjurkan yang membabitkan unsur keagamaan Islam supaya klien mendekatkan diri mereka kepada agama.
“Melihat kepada keberkesanan program yang dianjurkan di sini, kami sendiri menguar-uarkan kepada klien yang selesai menjalani pemulihan di Puspen untuk datang ke sini,” katanya.
Menurutnya, terdapat hampir 400 klien yang mengikuti program di pusat transit itu selain 59 klien yang menjalani program berkenaan secara tetap.
“Dalam usaha menyelesaikan isu dadah, ia tidak hanya boleh meletakkan tanggungjawab itu sepenuhnya kepada kerajaan semata-mata.
“Tetapi ia juga memerlukan kerjasama semua pihak termasuk agensi, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta masyarakat sendiri,” katanya.
Sementara itu, Noraini berkata, mana-mana gelandangan yang diselamatkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan terbabit dengan dadah akan diserahkan kepada AADK untuk tindakan lanjut.
“Di pihak JKM, tugas kami adalah menyelamatkan gelandangan. Apabila ia membabitkan penyalahgunaan dadah, kami akan merujuk kepada AADK yang mempunyai kepakaran dalam hal itu.
“Perkara ini adalah salah satu bentuk kerjasama pihak kami dengan AADK dalam membantu gelandangan yang diselamatkan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd