'Netizen hanya bergurau nak boikot' – Rosyam Nor

'Netizen hanya bergurau nak boikot' – Rosyam Nor

najiy.jefri@hmetro.com.my

Klang: Lakonan Datuk Rosyam Nor sebagai Iman dalam drama Keluarga Itu di TV3 mencetuskan perdebatan apabila watak itu dianggap miang dan menjijikkan, sehingga ada pihak menyeru agar pasar raya miliknya, ST Rosyam Mart diboikot.

Bagaimanapun, Rosyam yang bertindak sebagai Pengarah ST Rosyam Mart kekal tenang dan menganggap seruan boikot itu sekadar gurauan netizen di media sosial.

“Memang betul ada yang beritahu saya watak Iman membuatkan ada pihak mahu memboikot ST Rosyam Mart. Sebenarnya mereka tidak memboikot tetapi hanya bergurau.

“Dulu masa saya mula-mula nak buka ST Rosyam Mart pada 2018 pun ramai yang nak boikot, tapi alhamdulillah apabila timbul perkara sebegitu mereka sebenarnya sedang mempromosikan perniagaan saya,” katanya.

Rosyam berkata demikian ketika ditemui pada majlis pembukaan serentak pusat beli-belah pertama ST Rosyam Mall dan cawangan kelapan ST Rosyam Mart di Jalan Kebun, di sini, semalam.

Ia dirasmikan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan disaksikan Pengarah Urusan Kumpulan Sri Ternak, Datuk Raymond Ho.

Sementara itu, Rosyam menyifatkan watak Iman yang dibawakan bukan sesuatu yang sensasi, sebaliknya mesej sebenar yang cuba ditonjolkan memberi impak yang cukup mendalam kepada penonton.

“Watak yang dibawakan tidak sensasi, tapi keadaan itu yang membuatkan perkara itu menjadi panas. Mungkin ramai dalam kalangan kita tahu perkara itu terjadi, tapi tidak dapat mendedahkannya kerana tiada bahan bukti.

“Tapi melalui watak saya sebagai Iman dengan perlakuan saya yang nampak jijik dan menyeramkan, itulah yang dihadapi oleh mangsa-mangsa terbabit.

“Selama ini mereka melihat orang yang mereka sayang tapi sebenarnya seorang binatang. Itulah watak Iman yang ditulis oleh Erma Fatima, kemudian saya bentuk watak itu sebagai satu insan yang melebihi sifat seorang iblis dan syaitan yang tidak mempedulikan darah dagingnya.

“Namun, jika dilihat sekarang ini ramai yang sudah mula berani tampil dan keluar daripada kepompong ketakutan untuk mengaku diri mereka menjadi mangsa,” katanya.

Dalam masa sama, Rosyam menghargai setiap pujian dan komen positif penonton drama itu yang melihat kredibilitinya membawakan watak itu dengan berkesan.

“Saya ada terbaca komen mengenai kredibiliti lakonan saya. Pada usia sekarang kerjaya lakonan sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan saya

“Saya juga bersetuju lakonan ini adalah satu bentuk dakwah untuk membuka mata orang sehingga watak Iman menjadi fenomena yang besar hari ini.

“Walaupun banyak watak-watak yang dibentuk dalam bulan Ramadan dan Aidilfitri, tetapi watak Iman di media sosial sudah melebihi 300 juta orang bercakap mengenainya.

“Sepanjang pembabitan saya sebagai pelakon, saya bersyukur diterima baik walaupun sudah lama tidak muncul dengan drama bersiri. Ini membuktikan peminat saya mengharapkan lakonan saya selain terus memberikan persembahan yang diterima oleh masyarakat walaupun mereka membenci watak itu,” katanya

Terdahulu, drama terbitan Rumah Karya Citra Sdn Bhd itu berjaya menarik perhatian ramai apabila mengetengahkan isu sensasi dan tabu yang berlaku dalam sebuah keluarga.

Watak Iman yang dipaparkan sebagai lelaki miang dan menjijikkan terhadap darah daging sendiri mendapat pelbagai reaksi di media sosial sehingga ada pihak mahu memboikot perniagaan diusahakannya.

Dalam perkembangan lain, Rosyam meluahkan rasa bangga apabila ST Rosyam Mart tersenarai dalam Asean Records kerana pencapaiannya sebagai Pasar Raya Borong dan Runcit 24/7 Pertama di Asia Tenggara yang inovatif dalam menawarkan 21 perkhidmatan awam percuma, termasuk kemudahan pandu lalu yang mesra pelanggan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top