CHERAS: Kira-kira 200 pegawai dan anggota Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Polis Diraja Malaysia (PDRM) dijangka digerakkan bagi membantu penugasan sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan kali ini.
Pengarah KDNKA, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, bantuan itu membabitkan penugasan sumber manusia serta sokongan logistik bagi memastikan kelancaran operasi sepanjang pilihan raya.
Menurutnya, persiapan tersebut dilaksanakan berdasarkan pengalaman pengendalian PRN Johor sebelum ini yang menyaksikan semua jabatan dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) berganding bahu menjayakan penugasan.
Katanya, JKDNKA kini sedang menyelaras persiapan awal termasuk latihan kepada pegawai dan anggota supaya setiap penugasan dapat dilaksanakan secara tersusun, cekap serta berkesan.
“Kerjasama rapat turut dijalinkan bersama Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi memastikan setiap aspek keselamatan dan pengurusan pilihan raya diselaraskan dengan baik.
“Penyelarasan itu penting bagi menjamin proses pengundian berlangsung lancar tanpa sebarang gangguan sekali gus mewujudkan persekitaran yang selamat kepada semua pihak,” katanya pada sidang akhbar Majlis Perasmian Penutupan Ujian Rentas Halangan Jabatan KDNKA 2026, di Lapang Sasar Briged Tengah PGA Cheras, hari ini.
Tambah Mohd. Yusri, jumlah penugasan yang lebih kecil itu mengambil kira keluasan Negeri Sembilan serta bilangan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang lebih sedikit berbanding Johor.
Katanya, kesemua pegawai dan anggota yang terlibat akan mengikuti sesi taklimat serta latihan sebagai persediaan bagi memastikan setiap penugasan dilaksanakan mengikut prosedur operasi yang ditetapkan sepanjang pilihan raya
“Penugasan bagi PRN Negeri Sembilan dijangka melibatkan kira-kira 200 pegawai dan anggota berbanding 850 pegawai serta anggota yang digerakkan ketika PRN Johor, mengambil kira saiz negeri dan jumlah kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) adalah lebih kecil berbanding Johor,” katanya.-UTUSAN




