Penduduk Lembah Klang rasai gegaran gempa bumi Sumatera

Penduduk Lembah Klang rasai gegaran gempa bumi Sumatera

SHAH ALAM – “Tengah asyik buat kerja, tiba-tiba meja rasa bergoyang,” demikian situasi cemas dikongsikan seorang pekerja pejabat di Seksyen 14, di sini, selepas mendakwa merasai gegaran susulan gempa bumi bermagnitud 5.7 yang melanda Utara Sumatera, Indonesia, tengah hari Rabu.

Pemilik akaun Threads, nadiaxzailan, berkata, pada mulanya dia menyangka gegaran itu hanya dirasai olehnya sebelum bertanya kepada warga maya sama ada mereka turut mengalami situasi sama.

“Ada sesiapa rasa tak tadi dalam jam 12.18 tengah hari macam ada gegaran?

“Pejabat saya di Seksyen 14 Shah Alam. Memang ada gempa bumi dekat Sumatera Utara, Indonesia,” katanya menerusi hantaran itu.

Seorang lagi pengguna Threads, nurulsyazzana, turut berkongsi pengalaman apabila mendakwa merasai gegaran di Seksyen 13, Shah Alam.

“Seksyen 13 Shah Alam, siapa yang rasa goyang-goyang tadi pukul 12.20 tengah hari?” tulisnya.

Di ruangan komen itu, seorang lagi pengguna, nabilaishah, memaklumkan dia turut merasai gegaran ketika berada di Seksyen 26.

Semakan pada sistem pemantauan rasmi Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengesahkan gempa bumi bermagnitud 5.7 itu berlaku pada jam 12.18 tengah hari di Utara Sumatera, Indonesia.

Gempa berkenaan berlaku pada kedalaman 10 kilometer dari permukaan bumi.

Peta MetMalaysia menunjukkan lokasi gempa bumi bermagnitud 5.7 yang melanda Utara Sumatera, Indonesia pada jam 12.18 tengah hari Rabu.

 

 

Scroll to Top