Ke arah membina keteguhan akidah

Ke arah membina keteguhan akidah

Perang di Palestin yang masih berlarutan sehingga kini meragut puluhan ribu nyawa yang kebanyakannya terdiri daripada wanita dan kanak-kanak. Di samping itu, perang ini juga mengakibatkan krisis kemanusiaan yang sangat kritikal. Rakyat Palestin sedang menghadapi kekurangan makanan, air bersih dan perkhidmatan kesihatan yang sangat mendesak.

Melihat fenomena ini, timbul beberapa persoalan dalam fikiran segelintir umat Islam: Mengapa Allah SWT membiarkan kezaliman ini terus berlaku? Di mana pertolongan Allah SWT kepada hamba-Nya yang lemah? Semua persoalan ini perlu dilihat melalui kaca mata akidah yang teguh.

Bagi membina akidah teguh di sebalik perang di Palestin, umat Islam perlulah yakin dan percaya bahawa sesungguhnya apa yang berlaku di Palestin sekarang ini adalah dengan kehendak Allah SWT, pemilik nama al-Hakim (Yang Maha Bijaksana) dan al-Khabir (Yang Maha Mengetahui). Berhubung kedua-dua nama ini, Allah SWT berfirman yang bermaksud:

“Dan Dialah yang berkuasa atas sekalian hamba-Nya (dengan tadbir dan takdir) dan Dialah yang Maha Bijaksana serta amat mendalam pengetahuan-Nya.” (Surah al-An’am ayat 18)

Al-Hakim bermaksud Tuhan Yang Mengatur semua urusan makhluk-Nya dengan baik dan mencipta semua makhluk-Nya dalam bentuk paling baik. Al-Khabir pula bermaksud Tuhan Yang Memahami hakikat segala sesuatu dengan kefahaman yang betul.

Justeru, jika begitulah sifat Tuhan yang mentakdirkan perang berlaku di Palestin, sudah pastilah ada hikmah di sebaliknya, sama ada hikmah itu boleh dicapai oleh manusia atau sebaliknya. Ini kerana hikmah Allah SWT di sebalik sesuatu kejadian bukan semestinya dalam bentuk yang kita gambarkan.

Apa yang pasti, setiap individu Muslim sama ada yang berada dalam medan perang di Palestin atau di luarnya wajib menyerah diri kepada semua ketetapan Allah SWT tanpa sebarang bantahan. Manusia sebagai hamba tidak boleh mempersoal kehendak Tuhan sama sekali. Mengenai perkara ini, Allah SWT berfirman yang bermaksud:

“Dia tidak boleh ditanya tentang apa yang Dia lakukan, sedang merekalah yang akan ditanya kelak.” (Surah al-Anbiya ayat 23)

Oleh itu, setiap individu Muslim wajib percaya bahawa setiap perkara yang berlaku di muka bumi ini pasti ada hikmah di sebaliknya. Inilah akidah yang wajib dipegang dengan teguh oleh setiap umat Islam tanpa sebarang keraguan.

Seterusnya, akidah yang perlu dibina dengan teguh di sebalik perang di Palestin ialah mempercayai bahawa dunia ialah tempat ujian dan bukan tempat balasan. Ujian adalah sunah Allah SWT terhadap hamba-Nya di dunia ini. Hal ini disebut oleh Allah SWT dalam firman-Nya yang bermaksud:

“Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut dan kelaparan, dan kekurangan daripada harta benda, jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang yang sabar.” (Surah al-Baqarah ayat 155)

Semua bentuk ujian yang disebut dalam ayat di atas berupa ketakutan, kelaparan, kehilangan harta benda dan insan yang tersayang sedang dirasai oleh rakyat Palestin ketika ini. Namun, kita dapat melihat sifat sabar, reda dan kebergantungan mereka yang kuat kepada Allah SWT. Merekalah orang bersabar yang diberikan khabar gembira dalam ayat di atas.

Bagi umat Islam yang tidak berada dalam medan perang di Palestin, mereka juga diuji dalam bentuk kesenangan. Ini kerana ujian bukan sahaja datang dalam bentuk kesusahan, malah ia juga datang dalam bentuk kesenangan. Mengenai perkara ini, Allah SWT berfirman yang bermaksud:

“Dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai fitnah, dan kepada Kamilah kamu semua akan dikembalikan.” (Surah al-Anbiya ayat 35)

Justeru, setiap individu Muslim perlu bergantung kepada Allah SWT dalam setiap keadaan sama ada kesenangan atau kesusahan. Allah SWT diperlukan dalam setiap detik kehidupan. Inilah akidah yang perlu disematkan dalam hati setiap individu agar tidak tertipu dengan kehidupan dunia yang kadangkala membawa kebahagiaan dan kesedihan.

Akhir sekali, akidah yang perlu dibina dengan teguh di sebalik perang di Palestin ialah meyakini bahawa akhirat adalah kehidupan abadi manakala kehidupan di dunia hanyalah bersifat sementara. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Padahal kehidupan akhirat lebih baik dan lebih kekal.” (Surah al-A’la ayat 17)

Rakyat Palestin yang dibunuh dalam peperangan ini dikira mati syahid sekiranya mereka beriman kepada Allah SWT, sabar dan mengharapkan pahala daripada-Nya.

Mereka dijanjikan oleh Allah SWT dengan pahala yang amat lumayan dan mereka kekal abadi mengecapi segala nikmat yang disediakan oleh-Nya. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan jangan sekali-kali engkau menyangka orang yang terbunuh (yang gugur syahid) pada jalan Allah itu mati bahkan mereka hidup di sisi Tuhan mereka dengan mendapat rezeki.” (Surah Ali Imran ayat 169)

Mereka yang masih hidup di Palestin dan sedang teguh mempertahankan Baitulmuqaddis dan tanah air mereka akan diberi ganjaran pahala yang sangat besar oleh Allah SWT. Dalam satu hadis Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Setiap orang yang meninggal ditutup amalnya kecuali murabiṭ (orang yang menjaga perbatasan negara Islam) di jalan Allah. Sesungguhnya amalnya tetap bertambah sampai hari kiamat dan dia aman daripada fitnah kubur.” (Hadis Riwayat at-Tirmizi)

Justeru, setiap individu Muslim perlu menanam akidah bahawa akhirat menjadi tujuan hidup di dunia ini. Oleh itu, setiap perbuatan di dunia mesti difokuskan untuk meraih reda Allah SWT yang akan menjamin keselamatan di akhirat nanti.

Selain itu, mereka juga perlu sedar bahawa kehidupan di dunia ini sangat singkat dan perlu bertindak segera sebelum terlambat.

Daripada kupasan di atas, jelas kepada kita bahawa Allah SWT tidak pernah mengabaikan rakyat Palestin yang dizalimi. Sebagai umat Islam, rakyat Palestin wajib dibantu. Satu bentuk bantuan yang boleh dilakukan oleh semua umat Islam tanpa terkecuali ialah mendoakan mereka.

Setiap individu mesti bertakwa kepada Allah SWT sebagai syarat supaya doa mereka diterima.

Justeru, sudah sampai masanya untuk semua umat Islam kembali kepada Allah SWT dengan menjunjung tinggi segala suruhan dan menjauhi larangan-Nya.

Penulis Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah Universiti Utara Malaysia

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top