Kes kematian Beng Hock diklasifikasi NFA kerana tiada bukti kukuh – KPN

Kes kematian Beng Hock diklasifikasi NFA kerana tiada bukti kukuh – KPN

hidayah.tanzizi@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, hari ini mengesahkan siasatan berhubung kematian Teoh Beng Hock pada 2009 diklasifikasikan sebagai Tiada Tindakan Lanjut (NFA).

Razarudin berkata, merujuk kepada Perintah Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 21 November tahun lalu, kertas siasatan kes itu sudah dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara selepas siasatan dilengkapkan pada 17 April lalu.

Katanya, Pejabat Peguam Negara kemudian membuat keputusan supaya kertas siasatan itu diklasifikasikan sebagai NFA pada 19 Mei lalu.

Menurutnya, ia selepas meneliti keseluruhan keterangan mendapati tiada bukti yang mencukupi untuk membuktikan apa jua kesalahan terhadap mana-mana individu di bawah undang-undang.

“Satu notis pemakluman keputusan kes sudah dimaklumkan kepada peguam keluarga Teoh Beng Hock iaitu Ramkarpal Singh melalui surat dan emel pada 3.58 petang, Selasa lalu.

“Ia dikeluarkan oleh Ketua Pasukan Siasatan, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Siasatan / Perundangan), Selangor,” katanya dalam kenyataannya, hari ini.

Hari ini media melaporkan, Jabatan Peguam Negara (AGC) mengesahkan siasatan berhubung kematian Teoh Beng Hock diklasifikasikan sebagai NFA.

AGC dalam kenyataannya berkata, tiada keterangan mencukupi untuk membuktikan sebarang kesalahan terhadap mana-mana individu mengikut undang-undang.

Terdahulu hari ini, Persatuan Teoh Beng Hock untuk Kemajuan Demokrasi mendedahkan bahawa kes berkenaan diklasifikasikan sebagai NFA.

Beng Hock ditemui maut pada 16 Julai 2009 di bangunan Plaza Masalam selepas memberi keterangan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di tingkat 14 bangunan sama.

Mendiang adalah Setiausaha Politik kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan ketika itu, Ean Yong Hian Wah yang pada masa sama Exco Kerajaan Tempatan, Pemutihan Kilang Haram dan Pembangunan Kampung Baharu Selangor.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top