am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur : Pelakon, Arabella Ellen mengakui tidak kisah jika kehadirannya dalam industri seni tanah air seolah-olah dibayangi pelakon Anna Jobling kerana sama-sama berdarah kacukan.
Arabella atau nama sebenarnya, Arabella Ellen Mohd Yahya John Robert Nelson, 21, berkata, dia juga tidak melihat perkara itu sebagai sesuatu yang negatif sebaliknya memilih untuk membina nama sendiri secara perlahan-lahan.
Kata Naib Juara Dewi Remaja 2023 itu lagi, juga dia sedar Anna lebih dahulu mencipta nama dalam industri seni dan tidak menganggap perbandingan yang berlaku sebagai sesuatu yang perlu dipersoalkan.
“Saya rasa benda itu tidak salah pun sebab Anna memang bermula dalam industri seni lebih awal daripada saya. Saya pula baru saja bermula pada 2023.
“Jadi, saya akan buat semuanya secara perlahan-lahan. Saya perlu bina nama sendiri dan tidak rasa perlu tergesa-gesa untuk berada di atas.
“Setiap lakonan yang saya dapat, saya mahu gunakan peluang itu untuk terus asah lakonan dan perbaiki perkara yang masih perlu diperbaiki. Saya cuma mahu buat semuanya secara perlahan-lahan dan jalani kehidupan seperti biasa sebab saya pun baru 21 tahun,” katanya.
Ditanya potensi untuk menyerlah seperti pelakon berdarah kacukan Melayu dan Inggeris itu, Arabella menyifatkan perkara berkenaan sebagai soal rezeki.
“Insya-Allah, kalau ada rezeki untuk saya menyerlah dalam industri seni, adalah. Saya juga tidak kisah kalau orang kata saya ada persamaan dengan Anna.
“Bagi saya, apa yang penting adalah menjadi diri sendiri. Selagi saya buat apa yang saya perlu buat dan tidak terlalu memikirkan apa orang cakap, saya okey sahaja.
“Saya pun sudah biasa dengan perkara ini sejak menyertai Dewi Remaja lagi. Jadi, kalau sampai sekarang masih ada yang melihat saya begitu, saya tidak boleh buat apa-apa. Jadi saya hanya teruskan perjalanan dan bergerak ke depan,” kata pelakon drama bersiri Wish List itu.
Bagaimanapun, kata Arabella, dia juga mengakui Anna antara artis yang dijadikan contoh dan memberi inspirasi kepadanya untuk terus mengembangkan kerjaya seni.
“Sudah tentu Anna antara pelakon yang saya pandang tinggi dan ramai juga pelakon lain yang saya kagumi termasuk Nabila Huda dan Diana Danielle.
“Selain itu, saya berharap dapat bekerjasama dengan abang Beto Kusyairy dan Mierul Aiman sebab saya sangat suka lakonan dan hasil kerja mereka,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




