Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah mengingatkan semua pihak supaya tidak mengelirukan masyarakat Orang Asli di Semenanjung Malaysia dengan penggunaan istilah ‘tanah adat’ yang tidak diperuntukkan dalam Akta Orang Asli 1954 (Akta 134).
Baginda bertitah, istilah yang diperuntukkan secara khusus dalam akta berkenaan ialah ‘kawasan Orang Asli’ di bawah Seksyen 6 dan ‘rizab Orang Asli’ di bawah Seksyen 7, yang boleh diisytiharkan pihak berkuasa negeri melalui pemberitahuan dalam warta.
“Istilah yang diperuntukkan secara khusus mengikut Akta 134 ialah ‘kawasan Orang Asli’ di bawah seksyen 6 dan ‘rizab Orang Asli’ di bawah seksyen 7.
“Ia boleh diisytiharkan oleh pihak berkuasa negeri melalui pemberitahuan dalam warta.
“Oleh itu, janganlah kita sewenang-wenangnya menggunakan istilah ‘tanah adat’ seolah-olah setiap kawasan yang pernah diduduki, dimasuki atau digunakan secara automatik menjadi hak,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika merasmikan program Kenduri Rakyat sempena Hari Orang Asli 2026 di Kampung Orang Asli Sungai Mok, dekat Rompin, hari ini.
Hadir sama Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah; Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Besar Pahang, Wan Rosdy Wan Ismail.
Al-Sultan Abdullah turut menegaskan kerajaan negeri tidak pernah berniat menafikan hak Orang Asli, sebaliknya hak dan kebajikan mereka wajib dihormati, dipelihara serta dilindungi mengikut Perlembagaan dan undang-undang.
“Namun hak mestilah berjalan bersama undang-undang. Bawah Akta 134, pihak berkuasa negeri mempunyai kuasa untuk memberikan hak menduduki tanah tertentu dalam kawasan Orang Asli atau rizab Orang Asli,” titah baginda lagi.

Baginda turut menitahkan supaya proses pengukuran, persempadanan dan pewartaan kawasan Orang Asli dipercepatkan bagi memastikan kawasan berkenaan benar-benar terpelihara serta mengelakkan pertindihan dan peluasan tuntutan tanpa batas.
Mengenai status tanah, baginda memaklumkan daripada 264 kampung Orang Asli di Pahang, hanya 30 kampung selesai diwartakan manakala 16 lagi sudah diberi milik tanah.
Ini menjadikan 46 kampung mempunyai penyelesaian status tanah, manakala 218 kampung masih tertangguh.
“Saya mahu perkara ini diperhalusi. Jika ada masalah, nyatakan masalahnya; jika ada halangan undang-undang, cari kaedah penyelesaiannya. Jangan dibiarkan Orang Asli menunggu tanpa kepastian,” titah baginda.
Al-Sultan Abdullah turut menggesa kerajaan Persekutuan melalui Jabatan Kemajuan Orang Asli bersama kerajaan Pahang memastikan hak serta kebajikan masyarakat Orang Asli terus dijaga sebaik-baiknya.
“Jangan dibiarkan mereka terpinggir, jangan dibiarkan mereka hidup susah dan jangan hanya datang apabila timbul pertikaian mengenai tanah,” titahnya.
Baginda turut mengarahkan supaya status tanah setiap kampung dan kawasan Orang Asli dikenal pasti satu persatu sebelum kaedah penyelesaian paling sesuai serta sah di sisi undang-undang ditentukan.
Artikel lain: Dipelawa Tunku Azizah, Orang Asli Sungai Cot ucap terima kasih -“Tapi saya nak tanah adat saya saja..”
“Hak Orang Asli yang sah, kita akan pertahankan. Kebajikan mereka, kita akan pelihara. Tetapi pencerobohan, peluasan kawasan tanpa kebenaran atau tuntutan yang tidak berlandaskan undang-undang tidak boleh dikompromi,” titah baginda.
Sumber: Malaysiakini (NS Ramli)

