hafidzul@hmetro.com.my
Serdang: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berdepan risiko tinggi ketika memadam kebakaran di Pasar Borong Selangor, di sini, susulan terdapat kira-kira 2,000 tin gas metana di dalam premis yang terbakar.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, beberapa letupan turut berlaku pada peringkat awal operasi, namun keadaan berjaya dikawal.
“Berdasarkan penilaian di lokasi, kita dimaklumkan terdapat kira-kira 2,000 tin gas metana di dalam premis berkenaan.
“Pada peringkat awal memang berlaku beberapa siri letupan, namun kita berjaya mengawalnya.
“Ketika ini anggota masih menjalankan operasi pemadaman di tiga stor di bahagian belakang premis,” katanya pada sidang media di lokasi.
Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 11.04 malam sebelum jentera pertama dari Balai Bomba dan Penyelamat Seri Kembangan tiba di lokasi sembilan minit kemudian.
Katanya, kebakaran berjaya dikawal pada 1.20 pagi dan setakat ini tiada mangsa dilaporkan.
“Operasi membabitkan 68 anggota JBPM daripada 15 balai bomba di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya, dibantu 11 pasukan bomba sukarela, selain anggota polis,” katanya.
Ashrul berkata, operasi turut berdepan kekangan apabila lima pili bomba berhampiran tidak dapat digunakan kerana berada di bawah seliaan pihak swasta.
“Susulan itu, kita menggunakan sepenuhnya bekalan air daripada jentera dan lori tangki bomba sepanjang operasi,” katanya.
Beliau berkata, punca kebakaran masih dalam siasatan kerana operasi pemadaman masih belum selesai.
Terdahulu, Harian Metro melaporkan kebakaran besar memusnahkan premis menjual barangan logam di dalam kawasan Pasar Borong Selangor di Seri Kembangan, Selangor.
Api yang marak turut merebak ke beberapa premis berhampiran, namun berjaya dikawal daripada merebak ke bangunan pasar.
© New Straits Times Press (M) Bhd




