mahaizura@mediaprima.com.my
ANSURAN bulanan lebih rendah dan sejumlah wang di tangan sering menjadikan pembiayaan semula kelihatan menarik dan mengaburi mata pemilik kediaman.
Namun, keputusan itu boleh bertukar menjadi perangkap hutang sekiranya dibuat hanya untuk kepuasan kehendak atau memenuhi gaya hidup.
Pensyarah Kanan, Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Mohd Faisol Ibrahim berkata, pembiayaan semula kediaman boleh memberi manfaat, namun tujuan penggunaan wang tunai yang diperoleh perlu dinilai dengan teliti.
Menurutnya, dengan Kadar Dasar Semalaman (OPR) semasa pada 2.75 peratus serta ekonomi Malaysia kekal kukuh walaupun berdepan ketidaktentuan global, pembiayaan semula boleh dipertimbangkan pemilik yang mahu mengembangkan aset dan menambah pelaburan.
“Lebihan nilai semasa rumah berbanding harga asal memberi mereka tunai yang boleh digunakan, selain kemungkinan bayaran rumah menjadi lebih rendah disebabkan OPR lebih rendah berbanding sebelum ini.
“Langkah ini boleh dianggap sebagai tindakan wajar kerana pemilik boleh menggunakan pengeluaran tunai menerusi pembiayaan semula untuk membina aset atau instrumen berpotensi seperti deposit rumah baharu, hartanah sewa, emas, Amanah Saham Bumiputera (ASB), Tabung Haji atau dana pelaburan bersesuaian.
“Elakkan ‘cash out’ untuk berjoli atau membeli sesuatu yang tidak berfaedah dan tidak membantu mengembangkan aset sedia ada,” katanya.
Mohd Faisol berkata, pembiayaan semula boleh memberi penjimatan sekiranya kadar pembiayaan baharu lebih rendah selepas mengambil kira semua fi dan caj serta tempoh pinjaman tidak dipanjangkan.
Katanya, ansuran lebih rendah tidak semestinya bermaksud jumlah keseluruhan hutang turut berkurangan terutama apabila tempoh bayaran dilanjutkan sehingga puluhan tahun.
“Jika kadar OPR, Kadar Asas Standard (SBR), Kadar Asas (BR), Kadar Pinjaman Asas (BLR) atau Kadar Pembiayaan Asas (BFR) lebih rendah berbanding ketika rumah dibeli, ia boleh memberi penjimatan kepada pemilik.
“Namun, jika pembiayaan semula sekadar memanjangkan tempoh hutang, hakikatnya pemilik rumah sedang menjerut diri tanpa disedari,” katanya.
Selain itu, Mohd Faisol berkata, pemilik perlu mengambil kira juga kos guaman, yuran penilaian hartanah serta perlindungan seperti Mortgage Reducing Term Assurance (MRTA), Mortgage Reducing Term Takaful (MRTT) mahupun Mortgage Level Term Takaful (MLTT).
Katanya, kos berkenaan boleh menjadi lebih tinggi apabila nilai pembiayaan baharu meningkat dan sekiranya dimasukkan ke dalam pinjaman, ia turut menambah jumlah hutang serta bayaran bulanan.
“Kesilapan paling biasa dilakukan pemilik rumah ialah terlalu memfokuskan jumlah wang yang bakal diterima tanpa menilai jumlah hutang baharu, tempoh pembiayaan dan keseluruhan kos yang perlu dibayar.
“Justeru, pemilik perlu membandingkan kadar pembiayaan lama dan baharu, baki hutang, jumlah ansuran, tempoh bayaran serta keseluruhan faedah atau keuntungan yang bakal dikenakan sebelum membuat keputusan,” katanya.
Bagaimanapun, beliau tidak menggalakkan golongan yang mempunyai komitmen bulanan tinggi, tiada sumber pendapatan tambahan, tidak berdisiplin membayar hutang serta mengamalkan gaya hidup melebihi kemampuan melakukan pembiayaan semula walaupun menerima tawaran menarik bank.
“Jika pembiayaan semula dibuat hanya untuk mendapatkan tunai bagi kepuasan hidup semata-mata seperti membeli kereta, melancong atau memenuhi gaya hidup mewah, ia keputusan tidak tepat dan pengurusan kewangan buruk.
“Golongan ini mungkin terus dibelenggu hutang lebih besar dalam tempoh semakin panjang sehingga menjejaskan kesejahteraan hidup kerana tidak mengukur kemampuan pendapatan isi rumah selain tiada simpanan sebagai sokongan sekiranya berlaku kecemasan atau kehilangan pendapatan,” katanya.
Mohd Faisol berkata, pembiayaan semula kediaman tidak akan menyelesaikan masalah kewangan sekiranya punca sebenar seperti perbelanjaan tidak terkawal, kelemahan pengurusan kewangan dan komitmen berlebihan tidak diperbetulkan.
“Pemilik rumah perlu mempunyai ilmu perancangan kewangan dan pengurusan harta supaya keputusan yang dibuat tepat serta tidak membawa risiko tinggi,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




