LCS dapat peluru berpandu dari Perancis

LCS dapat peluru berpandu dari Perancis

PETALING JAYA: Kementerian Pertahanan menandatangani Surat Setuju Terima (SST) de­ngan sebuah syarikat pertahanan Peran­cis bagi perolehan sistem peluru berpandu permukaan ke udara untuk kapal tempur pesisir (LCS).

Kementerian itu berkata, dokumen tersebut ditandatangani oleh Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Lokman Hakim Ali bersama MBDA France sempena Farnborough International Airshow (FIA) 2026.

Menurutnya, SST tersebut melibatkan perolehan sistem peluru berpandu permukaan ke udara (SAM) bagi melengkap­kan keupayaan persenjataan LCS Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

“Perolehan ini juga merupakan kontrak pelengkap penting bagi projek LCS untuk memastikan kapal berkenaan memiliki keupayaan pertahanan udara yang memenuhi keperluan operasi TLDM.

“Pemeteraian SST ini men­cerminkan komitmen berterusan Kerajaan dalam memperkukuh keupayaan strategik pertahanan maritim negara bagi mendepani cabaran dengan geopolitik semasa,” katanya menerusi kenya­taan, semalam.

Pada 28 Jun lalu, Kementerian Pertahanan dilaporkan mengenal pasti empat negara berpotensi membekalkan sistem peluru berpandu antikapal (NSM) untuk projek LCS susulan pembatalan perolehan oleh Norway.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, proses pemilihan itu tidak hanya tertumpu kepada spesifikasi asas, sebaliknya mengambil kira kriteria utama bagi memastikan sistem yang dipilih benar-benar memenuhi keperluan operasi TLDM.

Beliau berkata, negara yang menjadi pertimbangan ialah Turkiye dan Korea Selatan selain dua lagi di Eropah. – UTUSAN

Scroll to Top