mohdsyazwan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Beregu wanita utama negara, Pearly Tan-M Thinaah muncul wakil tunggal Malaysia yang berjaya melangkah ke suku akhir Kejohanan Badminton Terbuka China selepas mencatat kemenangan bergaya pada pusingan kedua, hari ini.
Pasangan ranking kelima dunia itu hanya memerlukan 30 minit untuk menewaskan gandingan Ukraine, Polina Buhrova-Yevheniia Kantemyr 21-19, 21-12 di Gimnasium Pusat Sukan Olimpik Changzhou.
Pearly dan Thinaah bagaimanapun dipaksa bekerja keras pada set pertama apabila lawan memberikan tentangan sengit sehingga mata-mata terakhir sebelum pengalaman memihak kepada pasangan negara untuk menang 21-19.
Mereka kemudian menguasai sepenuhnya set kedua dengan corak permainan lebih kemas dan agresif sebelum menamatkan perlawanan menerusi kemenangan 21-12 sekali gus mengesahkan tempat ke suku akhir.
Cabaran lebih sukar menanti juara Masters Indonesia itu apabila dijadual bertemu pasangan Jepun yang juga ranking ketiga dunia, Yuki Fukushima-Mayu Matsumoto bagi perebutan tiket ke separuh akhir.
Kejayaan Pearly-Thinaah hadir di tengah-tengah kekecewaan kem Malaysia apabila enam lagi wakil negara gagal meneruskan saingan pada pusingan kedua kejohanan bertaraf Jelajah Dunia Super 1000 itu.
Beregu lelaki profesional, Nur Mohd Azriyn Ayub-Tan Wee Kiong antara yang tersingkir selepas tewas kepada pasangan nombor satu dunia dari Korea Selatan, Kim Won Ho-Seo Seung Jae 13-21, 19-21.
Turut mengakhiri cabaran ialah perseorangan lelaki, Leong Jun Hao yang tewas dalam pertarungan tiga set kepada wakil tuan rumah, Weng Hong Yang.
Dua beregu lelaki, Man Wei Chong-Soh Wooi Yik serta Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani, selain dua beregu campuran, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie dan Chen Tang Jie-Toh Ee Wei, turut gagal melepasi halangan pusingan kedua.
© New Straits Times Press (M) Bhd




