LE LUC: Ratusan anggota bomba bertungkus lumus memadam kebakaran hutan terburuk musim panas di Perancis berdekatan pusat peranginan mewah, Riviera di Saint-Tropez.
Setakat ini, seorang dilaporkan maut manakala ribuan penduduk dan pelancong terpaksa melarikan diri.
Usaha memadam kebakaran masuk hari ketiga hari ini, yang memusnahkan sekitar 5,000 hektar tanah di wilayah yang terkenal dengan keindahan hutan, kebun anggur dan fauna.
Tragedi berkenaan berlaku pada malam Isnin lalu di rizab alam semula jadi, Plaine de Maures.
Menurut jurucakap bomba bagi wilayah Var, Franck Graciano, api tidak merebak pada waktu malam tetapi ia tidak bermakna keadaan sekarang terkawal.
“Kami akan meneruskan usaha asas yang sama, sebagaimana dilakukan semalam dengan menyemburkan air di tempat yang kritikal,” katanya.
Sementara itu, pihak berkuasa dalam satu kenyataan, berkata seorang individu maut akibat kebakaran hutan itu, namun tidak mendedahkan identiti atau perincian mengenai kematiannya.
Menurut pihak berkuasa, 22 individu mengalami kecederaan ringan, termasuk 19 daripadanya akibat menghidu asap toksik manakala lima anggota bomba turut mengalami kecederaan ringan.
Sekitar 1,200 anggota bomba dikerah bagi memadamkan kebakaran besar itu, termasuk dengan menggunakan hos tekanan tinggi, pesawat pengangkut air dan helikopter untuk mengawal api yang marak.
Dalam satu kenyataan oleh pihak berkuasa wilayah Var semalam, sekitar 7,000 penduduk di kediaman dan tapak perkhemahan diarah berpindah ke bangunan perbandaran dan sekolah memandangkan suhu meningkat dan angin kencang.
Selain Perancis, kebakaran besar turut tercetus di sebahagian Turki, Bulgaria, Albania, Greece, Itali, Sepanyol, Portugal, Israel, Tunisia, Algeria dan Maghribi tahun ini. – AFP
© New Straits Times Press (M) Bhd




