Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selesai merakam keterangan bekas pembantu Menteri Ekonomi Chai Jin Shern atau James Chai berhubung siasatan kes melibatkan firma semikonduktor terkemuka Arm Holdings Plc, malam ini.
Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM Datuk Mohd Hafaz Nazar mengesahkan proses rakaman keterangan itu selesai kira-kira 9 malam tadi.
”Rakaman keterangan memasuki hari ketiga hari ini, dan buat masa ini tidak akan disambung (ambil keterangan),” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.
James Chai yang juga seorang penganalisis politik tiba di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya pada 10 pagi tadi bagi proses rakaman keterangan untuk hari ketiga berturut-turut.
Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 berkaitan sebuah projek semikonduktor yang dibiayai kerajaan bernilai RM1.1 bilion.
SPRM membuka kertas siasatan pada 16 Februari lepas susulan aduan daripada beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO), yang mendakwa perjanjian projek dibuat secara tergesa-gesa dan bersifat berat sebelah sehingga dijangka memberikan kesan kewangan kepada kerajaan.
Pada 1 April lepas, SPRM memberikan tempoh dua minggu kepada James Chai yang ketika itu berada di London untuk tampil membantu siasatan, dengan pihak suruhanjaya bersedia menanggung kos penerbangan pulang ke Malaysia.
Selain itu, siasatan turut menjurus kepada kemungkinan wujud unsur konflik kepentingan membabitkan beberapa individu, yang dikatakan telah diberikan jawatan tinggi dalam syarikat asing berkenaan selepas berhenti daripada perkhidmatan di sebuah kementerian.
© New Straits Times Press (M) Bhd




