Manchester: Manchester United bangkit daripada ketinggalan 2-4 ketika masa tambahan untuk menewaskan Lyon 5-4 dalam perlawanan suku akhir Liga Europa yang cuku dramatik, awal pagi tadi, sekali gus mara menerusi agregat 7-6.
Kempen United kelihatan seakan berakhir apabila Lyon bangkit daripada ketinggalan 0-2 untuk mendahului dengan dua gol dengan hanya berbaki enam minit permainan di Old Trafford, walaupun beraksi dengan 10 pemain selepas kapten Lyon, Corentin Tolisso dibuang padang.
Namun, sepakan penalti Bruno Fernandes, jaringan Kobbie Mainoo dan tandukan Harry Maguire melengkapkan penamat dramatik untuk menetapkan pertemuan separuh akhir menentang Athletic Bilbao.
“Segalanya tidak mustahil. Selepas kedudukan 4-3 dan penalti daripada Bruno, anda rasa perlawanan boleh diubah,” kata pengurus United, Ruben Amorim.
The Red Devils kini berada di tangga ke-14 Liga Perdana Inggeris (EPL) dan kekalahan hampir pasti akan menyebabkan mereka terlepas aksi Eropah musim hadapan.
Sebaliknya, mereka kini hanya tinggal tiga perlawanan daripada menjulang trofi Eropah sekali gus mempunyai peluang keemasan untuk layak terus ke Liga Juara-Juara musim depan.
“Setiap orang ketika ini percaya ia boleh dilakukan. Satu detik boleh mengubah banyak perkara dalam fikiran pemain,” kata Amorim.
Sejarah United sememangnya sinonim dengan kebangkitan dramatik, tetapi tidak banyak yang lebih luar biasa daripada hari ini yang cukup mengejutkan Lyon.
United di depan menerusi jaringan Manuel Ugarte dan Diogo Dalot pada babak pertama sebelum Lyon bangkit menyamakan kedudukan hasil jaringan Corentin Tolisso minit ke-71, Nicolas Tagliafico miint ke-77.
Rayan Cherki serta Alexandre Lacazette meletakkan Lyon di depan pada masa tambahan sebelum United melakukan kebangkitan dramatik di hujung permainan.
© New Straits Times Press (M) Bhd



