Kecederaan Kane resahkan Bayern

Kecederaan Kane resahkan Bayern

Munich, Jerman: Jurulatih Bayern Munich Vincent Kompany berkata “terlalu awal” untuk mengetahui tahap kecederaan Harry Kane tetapi dia berharap penyerang itu akan cergas untuk pertembungan Liga Juara-Juara di Aston Villa, Rabu ini.

“Saya tidak mempunyai maklumat yang tepat tetapi mudah-mudahan ia hanya sedikit kesakitan dan kami akan mendapatkannya kembali minggu ini,” kata Kompany.

Bercakap selepas kapten England itu dikeluarkan ketika perlawanan berbaki empat minit dalam keputusan seri 1-1 di laman sendiri dengan Bayer Leverkusen semalam, Kompany berkata, beliau berharap Kane akan segera kembali bersama pasukan.

“Semoga ia tidak serius.

“Saya bukan doktor dan ini masih terlalu awal. Saya tahu sesuatu sudah berlaku, tetapi saya harap dia sudah bersedia untuk hari Rabu,” kata Kompany ketika ditanya sama ada kecederaan Kane.

Bagaimanapun Pengarah Sukan Bayern, Max Eberl pula memberi jawapan lebih realistik dengan mengatakan kecederaan Kane ‘tidak kelihatan bagus’.

Kane terjatuh sambil memegang kakinya selepas berlanggar dengan Amine Adli dari Leverkusen.

Kapten England itu mempunyai sejarah masalah pergelangan kaki tetapi hanya terlepas dua perlawanan untuk Bayern akibat kecederaan sejak tiba pada musim panas 2023.

Bayern kini mendahului format baharu Liga Juara-Juara Eropah selepas menewaskan Dinamo Zagreb 9-2 pada perlawanan pertama mereka dengan Kane meledak empat gol. Villa di tangga keempat.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top