Kedudukan Islam jelas dalam Perlembagaan Malaysia – Pembela

SHAH ALAM – Kenyataan bekas pemimpin kanan DAP, Ronnie Liu bahawa Malaysia tidak akan dan tidak patut menjadi negara Islam bukan sekadar pandangan politik, tetapi satu kenyataan yang wajar diperbetulkan berdasarkan Perlembagaan dan keputusan mahkamah.

Presiden Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (Pembela), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, Malaysia tidak dibentuk atas ruang kosong.

Menurutnya, Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan dengan jelas memperuntukkan bahawa Islam ialah agama bagi Persekutuan, manakala agama-agama lain bebas diamalkan dengan aman dan damai.

“Malah, Perkara 3(1), dibaca bersama keseluruhan struktur Perlembagaan, menunjukkan bahawa Islam mempunyai kedudukan tersendiri dalam sistem kenegaraan Malaysia.

“Perkara 11 pula menjamin kebebasan beragama. Kedua-duanya bukan percanggahan.

“Islam mempunyai kedudukan sebagai agama Persekutuan, sementara hak penganut agama lain untuk mengamalkan agama masing-masing tetap dilindungi. Inilah keseimbangan yang ditetapkan oleh Perlembagaan,” katanya menerusi hantaran Facebook pada Jumaat.

Tambah beliau, lebih signifikan, Yang di-Pertuan Agong ketika mengangkat sumpah jawatan di bawah Perkara 37 dan Jadual Keempat Perlembagaan Persekutuan berikrar untuk ‘memeliharakan pada setiap masa agama Islam’ dan menegakkan pemerintahan yang adil serta aman.

Jelasnya, ini bukan lafaz simbolik yang boleh diketepikan sesuka hati tetapi sebahagian daripada struktur perlembagaan negara.

“Justeru, persoalannya bukan semudah mengatakan ‘Malaysia tidak patut menjadi negara Islam’. Jika istilah ‘negara Islam’ hendak diperdebatkan dari sudut akademik dan perlembagaan, silakan.

“Tetapi jangan sampai perdebatan istilah digunakan untuk menafikan hakikat bahawa Islam mempunyai kedudukan yang nyata, khusus dan dilindungi dalam Perlembagaan,” ujarnya.

Mengulas lanjut beliau berkata, lebih tidak wajar ialah seolah-olah cuba meletakkan Islam dan masyarakat majmuk sebagai dua perkara yang bertentangan.

Ulasnya, menafikan kedudukan Islam atas nama kepelbagaian adalah sama tidak tepatnya dengan menggunakan Islam untuk menafikan hak orang lain.

“Maka, kalau benar-benar mahu mempertahankan Perlembagaan, hormatilah keseluruhannya bukan hanya peruntukan yang selari dengan pendirian sendiri.

“Islam bukan agama yang menumpang dalam Perlembagaan. Islam mempunyai kedudukan perlembagaan yang jelas.

“Jangan cuba memadam hakikat perlembagaan dengan slogan politik. Perlembagaan tidak berubah hanya kerana seseorang tidak menyukai kedudukan Islam di dalamnya,” katanya.

Scroll to Top