LATEST

Payish restu hubungan bapa, puji sikap Datuk Seri Vida

Payish restu hubungan bapa, puji sikap Datuk Seri Vida

puterialia@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: “Saya secara keseluruhan sangat gembira dan berpuas hati sebab saya mahu Dida (Fazley) dan Mama Vida (Datuk Seri Vida) bahagia, malah paling penting, saya bersama Cik B pun terima (hubungan ini).”

Begitu kata anak sulung kepada penyanyi dan cef selebriti, Datuk Fazley Yaakob iaitu Ahmad Fariedz Shah berhubung lamaran bapanya ke atas usahawan sensasi, Datuk Seri Vida (DSV), malam tadi.

Ahmad Fariedz atau dikenali sebagai Payish, 17, berkata dia sudah mengetahui perancangan bapanya untuk membuat lamaran berkenaan sebelum ia dilaksanakan.

“Saya dah tahu sekitar tiga minggu lalu pada peringkat awal perkara itu dirancang. Dida ada bagi tahu saya, dia terfikir nak melamar Mama Vida dan ada tanya pendapat saya.

“Saya kata okey dan tanya Dida bila nak buat. Saya memang berada bersama Dida dari awal soalan itu ada dalam fikiran dia sehinggalah lamaran itu dilaksanakan malam ini (semalam).

“Secara keseluruhannya, proses itu mengambil masa kira-kira sebulan. Adik-adik saya pun tahu, cuma Dida minta kami semua rahsiakan perkara ini daripada orang lain,” katanya ketika ditemui di Konsert Live 11.11 Mega Shock di Pusat Konvesyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini, malam tadi.

Mengulas mengenai keperibadian DSV, Payish menyifatkan usahawan itu mempunyai ciri-ciri wanita idaman bapanya.

“Saya boleh nampak Mama Vida memang memberi banyak kasih sayang kepada Dida. Saya juga nampak pegangan agamanya kuat, sangat manja, baik hati dan pemurah. Itu memang kriteria wanita idaman Dida,” katanya.

Pada masa sama, Payish turut meluahkan rasa teruja apabila bakal menerima kehadiran Cik B dan Kacak sebagai ahli keluarga baharu.

“Saya ini anak sulung. Seumur hidup, saya tak pernah ada kakak atau abang untuk saya jadikan sebagai tempat bergantung dan saya perlu menjaga adik-adik saya.

“Tetapi sekarang dengan adanya Cik B dan Kacak, saya boleh rasa relaks sikit. Saya boleh dapat pendapat daripada seorang abang dan kakak.

“Saya rasa sedikit lega dan sangat gembira kerana ada ramai orang di rumah untuk bergembira bersama,” katanya yang turut mendoakan agar segala urusan bapanya itu dipermudahkan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news