am@hmetro.com.my
Pelabuhan Klang: Tiada lagi ‘pesta keluar masuk’ sempadan negara melalui pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok antara Malaysia-Thailand.
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman Datuk Seri Azmi Abu Kassim berkata, berdasarkan taklimat serta pemerhatian semasa lawatan ke sempadan negara itu semalam, beliau mendapati kegiatan merentas sempadan dilihat berkurangan.
“Saya boleh beritahu di sini, berdasarkan pemerhatian memang kurang kegiatan merentas sempadan (susulan larangan rentas sempadan menggunakan pangkalan haram di sepanjang lokasi itu).
“Tiada lagi nampak macam ‘pesta keluar masuk’ sempadan tanpa sekatan (melalui pangkalan haram). Itu kita nampak tidak lagi berlaku depan mata kita.
“Namun kita masih berwaspada dan tidak akan membiarkan keadaan ini mengaburi mata kita dengan tidak menguruskan penugasan yang berkesan,” katanya pada sidang media selepas menyaksikan Majlis Terima Tugas Komander Pasukan Polis Marin (PPM) yang baharu di Markas PPM Wilayah 1, Pulau Indah, di sini, hari ini.
Pada majlis itu, beliau menyaksikan serah terima tugas antara Senior Asisten Komisioner Norzaid Muhammad Said yang bersara wajib bermula esok kepada Komander PPM yang baharu, Senior Asisten Komisioner Shamsol Kassim.
Menurutnya, penugasan dari segi rondaan dan pemantauan terus ditingkatkan keberkesanannya agar keberhasilannya dapat diperoleh.
“Namun kita waspada dan tindakan dari masa ke semasa akan diambil.
“Tindakan tidak dapat dimaklumkan sekarang namun kita sudah mengatur inisiatif untuk mengekang perkara yang berlaku sebelum ini dari terus berlaku,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan larangan rentas sempadan menggunakan pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok antara Malaysia-Thailand dikuatkuasakan bermula pada 1 Disember lalu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




