Kehadiran penonton GP Malaysia 2023 meningkat

Kehadiran penonton GP Malaysia 2023 meningkat

Sebahagian penonton yang hadir menyaksikan perlumbaan GP Malaysia 2023 di SIC. – Foto Bernama

SERAMAI 182,912 penonton hadir menyaksikan Kejuaraan Motosikal Grand Prix (GP) Malaysia 2023 yang berlangsung selama tiga hari di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).

Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Azhan Shafriman Hanif juga bersyukur apabila kehadiran musim ini mengatasi jumlah 163,567 penonton tahun lalu hasil kerjasama semua pihak yang bertungkus lumus memastikan perjalanan perlumbaan itu berjalan lancar.

Selepas kejayaan itu jelas Azhan Shafriman, pihaknya kini akan mengalihkan tumpuan kepada penambahbaikan permukaan SIC mengikut saranan pemegang hak MotoGP, Dorna Sports dan Persekutuan Motosikal Antarabangsa (FIM).

Katanya, proses tersebut akan dilakukan sebelum Ujian Pra Musim Grand Prix (MotoGP) 2024, dijangka bermula pada Februari depan.