Kejadian banjir, arus deras berulang di Yan – Utusan Digital

YAN: Lebih 10 buah rumah dari lima kampung di kaki Gunung Jerai di sini terjejas dalam kejadian banjir selepas hujan lebat kira-kira pukul 7 malam ini.

Rumah penduduk terbabit mula dimasuki air sedalam kira-kira 0.2 hingga 0.5 meter pada pukul 10 malam selepas paras air sungai berdekatan melimpah ke kawasan kampung tersebut.

Antara kampung terlibat ialah Kampung Permatang Chengai, Kampung Pematang Keramat, Seberang Pekan Yan, Lubok Boi dan Teluk Mat Acheh.

Seorang penduduk, Basiron Shah Mat, 55, berkata, kebanyakan penduduk yang masih trauma dengan bencana kepala air pada 18 Ogos lalu bergegas menyelamat diri ke tempat selamat kerana bimbang paras air semakin.

Bagaimanapun, menurutnya, kejadian banjir yang berlaku malam inj tidak serius berbanding tragedi kepala air yang berlaku di kampung berkenaan sebelum ini.

“Air sungai berdekatan melimpah ke kampung terlibat selepas paras meningkat dan air mengalir deras sehingga mencemaskan penduduk,” katanya ketika dihubungi malam ini.

Tambahnya, beberapa penduduk juga dalam keadaan berjaga-jaga kerana bimbang paras air semakin meningkat.

“Penduduk yang tinggal di beberapa kampung berdekatan termasuk di Kampung Raga juga mengambil.langkah berjaga-jaga,” ujarnya.

Sementara, sumber Jabatan Pertahanan Awam Jerai memberitahu, sebanyak lapan buah rumah di Sungai Iboi, Gurun turut dinaiki air malam ini. -UTUSAN ONLINE