Kejayaan semua pihak – Pan Gon

Kejayaan semua pihak – Pan Gon

BUKIT JALIL : Ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan Gon menyifatkan kejayaan Malaysia menamatkan penantian 43 tahun ke Piala Asia tidak akan berjaya sekiranya tanpa bantuan semua pihak dan sokongan padu peminat, pemilik kelab dan kerajaan.

“Terima kasih kepada semua penyokong, semua kelab di Liga Malaysia termasuk TMJ (Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim) yang turut membantu pasukan negara dengan melepaskan 14 pemain untuk pasukan.

“Terima kasih kerana datang sokong Harimau Malaya, terima kasih banyak-banyak.

“Terima kasih juga kepada Perdana Menteri sokong kami…semua staf FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) yang banyak bantu saya, terima kasih banyak-banyak untuk malam ini.

“Sekali lagi terima kasih kepada semua penyokong Harimau Malaya,” katanya pada sidang akhbar sejurus tamat aksi antara Malaysia dan Bangladesh di Stadium Nasional Bukit Jalil, sebentar tadi.

Pada aksi terakhir Kumpulan E Kelayakan Piala Asia itu, skuad kebangsaan berjaya membenam cabaran Bangladesh 4-1.

Keputusan ini menyaksikan Malaysia tersenarai dalam kelompok lima terbaik naib juara kumpulan. – UTUSAN ONLINE