Tehran: Iran mengucapkan tahniah kepada Sepanyol atas kejayaan menjuarai Piala Dunia 2026, sambil menyifatkan kemenangan itu turut menggembirakan rakyat di seluruh dunia yang menentang dasar Amerika Syarikat (AS) dan Israel.
Di media sosial, kemenangan Sepanyol menerima sokongan meluas daripada pelbagai pihak, antaranya disebabkan pendirian kerajaan negara itu yang mengkritik tindakan Israel di Gaza serta kritikan Madrid terhadap peperangan di Iran.
Sebaliknya, ahli politik dan penyokong bola sepak Israel dilaporkan memberi sokongan kepada Argentina, memandangkan Presiden negara itu, Javier Milei, lantang menyokong dasar-dasar Israel.
Perunding tertinggi Iran, Mohammad Bagher Ghalibaf berkata, pemain Sepanyol yang mempertahankan nasib rakyat Palestin serta sokongan kerajaan Sepanyol terhadap Iran mencerminkan keberanian dan pendirian tegas negara itu.
“Sokongan pemain terhadap rakyat Palestin dan sokongan Sepanyol kepada Iran menunjukkan bahawa kebebasan dan ketegasan adalah ciri sebuah negara yang bijaksana dan dihormati.
“Kemenangan ini bukan sahaja menggembirakan rakyat Sepanyol, malah turut menggembirakan ramai negara yang cintakan kebebasan, kemerdekaan dan keadilan di seluruh dunia,” katanya seperti dipetik agensi berita rasmi IRNA.
Terdahulu, jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmaeil Baqaei, turut memuji pendirian Sepanyol sejak beberapa bulan kebelakangan ini.
“Tindakan pasukan kebangsaan Sepanyol serta pendirian negara itu yang menentang pencerobohan, pembunuhan beramai-ramai dan penindasan adalah sesuatu yang amat bernilai,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




