Kekalahan akibat kesilapan sendiri – Aaron

Kekalahan akibat kesilapan sendiri – Aaron

Aaron (kanan) dan Wooi Yik terpaksa akur tewas kepada pasangan Indonesia pada pusingan pertama Seluruh England pada Rabu. – Foto EPA

BEREGU lelaki utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik mengakui kegagalan melepasi pusingan pertama kejohanan Seluruh England berpunca daripada kesilapan sendiri.

Aaron memberitahu, mereka sudah membuat persediaan yang baik mengikut perancangan rapi, namun tidak menyangka berdepan cabaran sengit pada set penentuan.

“Kami sudah bersedia dengan corak permainan yang baik dan bagaimana untuk melakukannya (di gelanggang). Namun di set ketiga langkah kami seakan tersekat dan berlaku kesilapan.

“Kami beraksi seperti dirancang, tidak berasa gugup, tetapi ia adalah disebabkan kesilapan. Ia tidak sepatutnya berlaku tetapi kami gagal mengawalnya,” katanya.

Dalam pusingan pertama pada Rabu, Aaron-Wooi Yik kalah mengejut kepada pasangan Indonesia, Leo Rolly Carnando-Daniel Marthin meskipun beregu nombor dua dunia itu tidak pernah tewas dalam empat pertemuan terdahulu.

Pada aksi yang berlangsung di Arena Utilita, Birmingham, pasangan negara itu akur tewas 18-21, 21-14, 13-21 dalam tempoh satu jam.

Mengulas gelaran sebagai juara dunia memberi tekanan kepada mereka, Aaron enggan menjadikan ia sebagai alasan kerana mereka perlu melakukan yang terbaik sepanjang permainan.

Beliau berkata, setiap pemain berpeluang menjadi juara dan gelaran tersebut hanya untuk sehari dan selepas itu ia kembali seperti biasa.

“Kami tidak boleh mengelaknya (tekanan sebagai juara), tetapi ia bukan alasan. Kami sudah memberikan yang terbaik.

“Tidak kira juara pada mana-mana kejohanan, anda perlu melakukannya dengan lebih baik (setiap pertandingan). Sentiasa bersedia dengan setiap kejohanan kerana ia seperti hari baharu.

“Anda hanya juara untuk sehari. Keesokkannya anda kembali seperti asal (pemain profesional). Perlu bersedia untuk kejohanan seterusnya. Setiap pemain berpeluang menjadi juara,” ujar Aaron.

Justeru Wooi Yik enggan menjadikan kekalahan itu untuk berasa lemah semangat bagi mengharungi Kejohanan Terbuka Swiss.

“Kami akan memantapkan lagi kekuatan mental untuk kejohanan seterusnya,” katanya.