Kekerapan PJRM ditambah lima kali setiap DUN

Kekerapan PJRM ditambah lima kali setiap DUN
Kekerapan PJRM ditambah lima kali setiap DUN

Fuziah melakukan tinjauan selepas menyempurnakan pembukaan Pasaraya Pantai Selamat Seindah di Bandar Kuantan Putri pada Ahad.

KUANTAN – Kekerapan Program Jualan Rahmah Madani (PJRM) ditambah lima kali bagi setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) seluruh negara mulai Jun ini.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Dr Fuziah Salleh berkata, inisiatif itu bagi membantu rakyat dalam menangani kos sara hidup yang semakin mencabar khususnya ketika berdepan cabaran kenaikan kos akibat krisis global ketika ini.

Menurutnya, sebelum ini program tersebut dilaksanakan empat kali setiap DUN, tetapi kini ia ditambah bagi membantu meringankan beban rakyat.

“Dalam tempoh Januari sehingga 13 Jun lalu, 13,692 siri PJRM telah dilaksanakan di seluruh negara.

“Di Pahang, sebanyak 974 siri PJRM telah dilaksanakan di 42 DUN dengan lebih 40 peratus daripada sasaran pelaksanaannya pada tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Jualan Rahmah Madani sempena pembukaan Pasaraya Pantai Selamat Seindah di Bandar Kuantan Putri di sini pada Ahad.

Fuziah berkata, daripada keseluruhan siri PJRM di Pahang setakat ini, 614 siri dijalankan menerusi model bergerak manakala 354 siri pelaksanaan di dalam premis.

Katanya, menerusi model bergerak dengan konsep ‘Kedai Cari Rakyat’, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) berjaya menembusi kawasan pedalaman, perkampungan Orang Asli, Felda, dan pinggir bandar.

“Sepanjang tahun lalu, nilai jualan melalui program ini di Pahang mencecah RM66 juta dengan dua juta isi rumah menerima manfaat itu,” katanya.

Scroll to Top