London: Bekas kapten Manchester United, Harry Maguire, menerima tawaran daripada dua kelab Liga Pro Saudi, menurut laporan.
Maguire, 32, menyertai United pada 2019 dengan yuran perpindahan £80 juta (RM455.7 juta) yang juga rekod dunia ketika itu, namun perjalanan kariernya di Old Trafford tidak menentu.
Dia pernah dilantik sebagai kapten di bawah kendalian Ole Gunnar Solskjaer sebelum gelaran itu ditarik semula oleh Erik ten Hag, dan sejak itu gagal menempatkan diri secara tetap dalam kesebelasan utama walaupun harapan tinggi disandarkan kepadanya.
Maguire beberapa kali menarik minat pasukan lain, termasuk hampir menyertai West Ham musim panas lalu sebelum memilih kekal dan berjuang mendapatkan tempat bersama United.
Dalam jendela perpindahan yang baru ditutup, United menolak tawaran daripada kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) dan Serie A untuk mendapatkan khidmatnya, sekali gus menandakan dia masih bersama skuad untuk musim baharu.
Bagaimanapun, menurut The Sun, Maguire kini menerima tawaran daripada kelab Liga Pro Saudi, sekali gus membuka peluang untuk dia bergabung dengan bekas rakan sepasukan, Cristiano Ronaldo, di negara itu dengan tarikh akhir perpindahan ditetapkan pada 23 September.
Difahamkan juga Maguire bersedia meninggalkan United, tetapi bukan pada musim panas ini, sebaliknya tahun depan.
Pertahanan England itu, yang diketepikan daripada skuad terbaru kendalian Thomas Tuchel, masih berbaki setahun kontraknya dan berhasrat menghabiskannya di Old Trafford.
Namun, dia juga tidak menolak untuk kekal lebih lama jika United mahu mengekalkannya.
Maguire membuat 27 penampilan musim lalu dengan satu jaringan, tetapi dia bukan pilihan utama. Ruben Amorim mempunyai beberapa pilihan lain dalam sistem tiga pertahanan pilihannya termasuk Leny Yoro, Matthijs De Ligt, Luke Shaw, Noussair Mazraoui, Any Heaven serta Lisandro Martinez, yang kini berdepan kecederaan jangka panjang.
Musim ini, Maguire tetap diberi peluang beraksi dalam dua daripada tiga perlawanan EPL walaupun belum pernah menjadi kesebelasan utama. Dia hanya beraksi 10 minit menentang Arsenal dan tiga minit menentang Fulham, serta tidak diturunkan ketika menentang Burnley.
Setakat ini, Maguire yang sudah 258 kali menyarung jersi United, turut bermain sepenuh masa ketika kekalahan mengejut menerusi penentuan penalti kepada Grimsby Town dari Liga Dua, minggu lalu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




