lokman.khairi@hmetro.com.my
Foto Muhamad Lokman Khairi
Kuala Lumpur: Harga santan dijangka meningkat menjelang Ramadan susulan harga kelapa di pasaran yang tidak menentu sehingga mencecah RM3 sebiji.
Tinjauan Harian Metro di Pasar Basah Datuk Keramat mendapati santan dijual pada harga RM8 sekilogram, manakala kelapa parut pula dijual RM10 sekilogram dan RM3.50 sebiji.
Rata-rata peniaga santan mengakui terpaksa menaikkan harga jualan berikutan bekalan kelapa tempatan yang tidak stabil ketika ini, selain berlaku peningkatan harga kelapa biji.
Azhar Ishak, 59, berkata, harga sebiji kelapa sebelum ini adalah sekitar RM2.20, namun kini meningkat 70 sen kepada RM3 sebiji.
“Harganya naik sedikit demi sedikit bermula Disember tahun lalu bergantung kepada pembekal.
“Mula-mula naik 20 sen, kemudian 20 sen lagi dan terbaru 30 sen pula.
“Sebelum ini saya jual santan dengan harga RM7 sekilogram, tapi terpaksa naikkan harga kepada RM8 bagi menampung peningkatan kos terbabit.
“Bekalan kelapa juga tak banyak. Saya cuma boleh dapat 1,000 biji kelapa bagi setiap empat hari daripada pembekal dari Bagan Datuk, Perak dan Sabak Bernam, Selangor. Kadang-kadang, saya dapat kurang daripada itu,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Menurutnya, kekurangan bekalan komoditi itu terjadi akibat musim kelapa melawas iaitu keadaan putik kelapa gugur dari tandan disebabkan cuaca ekstrem sama ada panas melampau atau hujan lebat.
“Apabila putik gugur, maka bilangan hasil buah pun berkurang.
“Kelapa kebiasaan melawas antara Disember sehingga awal Februari,” katanya.
Nasib sama dikongsikan Muhammad Rani Thani, 44, yang turut berdepan masalah kekurangan bekalan kelapa hingga menjejaskan perniagaannya.
Katanya, sebelum ini dia boleh mendapatkan sekitar 7,000 biji kelapa daripada peraih dari Bagan Datuk dan Kuala Selangor dalam tempoh seminggu, namun sekarang jumlah itu menurun sekitar 4,000 saja.
“Apabila bekalan kelapa biji sikit, susah hendak pusing modal, ditambah lagi harga kelapa sama saja walaupun saiz yang kita terima ada besar, ada juga kecil.
“Kebiasaannya kami perlukan dua atau tiga biji kelapa untuk hasilkan satu kilogram santan. Jadi keuntungannya tidak besar mana.
“Dalam tempoh sebulan, tiba-tiba pembekal kata harga kelapa kampung naik, kita di sini hadapi masalah untuk terangkan kepada pelanggan. Hendak jual mahal pun kasihan kepada pelanggan,” katanya.
Muhammad Rani berkata, berdasarkan pengalaman 10 tahun dalam perniagaan itu, permintaan santan ketika Ramadan adalah berbeza.
“Minggu pertama puasa, permintaan terhadap santan boleh dikatakan lengang.
“Namun, pada pertengahan puasa, permintaan terhadap santan akan meningkat naik kerana orang sudah mula berniaga lemang. Ketika itu, kita perlukan bekalan yang banyak sehingga hari terakhir sebelum raya,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi peniaga santan, Mohd Nordin Katmin, 59, berharap bekalan kelapa di pasaran dapat distabilkan semula supaya tiada lagi kenaikan harga kos.
“Kelapa ini masalah dari segi harga saja, mahal pun peniaga seperti saya terpaksa beli.
“Ramadan ini mungkin naik harga kerana saya ada dengar mungkin (harga kelapa biji) naik sekitar 10 sen lagi.
“Kalau ikutkan situasi ini, untung kami tak banyak, ada sikit hendak besarkan anak dan makan belanja dapur. Orang kata cukup-cukup makan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd