Keletah geng mak-mak Elite riuhkan konsert

Keletah geng mak-mak Elite riuhkan konsert

am@hmetro.com.my

KONSERT Elite Live ’25 bukan sahaja memukau dengan persembahan bertenaga dan menghiburkan, sekali gus mengimbau sejarah dan zaman kegemilangan kumpulan itu sebagai ‘girl band’ pada era 1990-an dulu.

Ia bukan sahaja mengubat kerinduan peminat pada kumpulan Elite, malah berjaya mengumpulkan semula lima anggota asal iaitu Abby Abadi, Linda Rafar, Watie Sadali, Sasha Saidin dan Azza Zawari berkongsi pentas pada konsert berskala besar itu.

Ternyata, lebih 2,000 peminatmemenuhi Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada Sabtu lalu nampak puas dan terhibur dengan gelagat lucu dan spontan anggota kumpulan Elite pada konsert berkenaan.

Menurut Watie, konsert berskala besar itu sangat bermakna buat mereka kerana impian Elite untuk mengadakan konsert skala besar akhirnya kesampaian tahun ini.

“Alhamdulillah, terima kasih kepada penganjur, Icon Entertainment tunaiimpian kami untuk adakan konsert sendiri.

“Setiap dari kami sibuk dengan kehidupan dan perniagaan masing-masing jadi jarang dapat berkumpul.

“Disebabkan konsert ‘reunion’ ini, kami dapat berjumpa semula tiga bulan sepanjang sesi latihan,” katanya sambil mendapat tepukan gemuruh dan sorakan dari penonton.

Elite sampaikan 17 rangkaian lagu hits, medley dan duet bersama artis jemputan

Sebagai penghibur berpengalaman sejak Elite ditubuhkan pada 1995, anggota kumpulan ini juga bijak berkomunikasi dengan penonton ibarat celoteh ‘mak-mak’ bila di pentas.

Pada masa sama, pemilihan lagu disampaikan sesuai kerana rata-rata lagu hits Elite disampaikan pada malam itu berjaya menarik peminat untuk ‘sing along’ bersama mereka.

Bukan sahaja bijak berceloteh dengan penonton yang tidak kering gusi, anggota Elite juga boleh menari termasuk rap dengan baik di pentas hasil sesi latihan selama tiga bulan sebelum konsert.

Kalau ada pun kelemahan mungkin dari aspek vokal anggota Elite yang boleh diperbaiki lagi pada masa akan datang.

Sebanyak lebih 20 rangkaian lagu popular Elite disampaikan pada malam itu dalam durasi konsert dua jam seperti La Diva, Bahaya, Kau Siapa, Sesuatu Dalam Dirimu, Dua Hati, Bila Lagi, Catwalk, Alhamdulillah dan Mengerti.

Pada acara kemuncak, Elite menutup tirai konsert menerusi rangkaian lagu hits iaitu Trauma, Tamparan Wanita, Manis Senyumanmu sekali gus mengimbau zaman kegemilangan mereka dulu.

Konsert Elite juga dimeriahkan dengan persembahan artis jemputan iaitu kumpulan X-Factor yang sezaman dengan mereka menerusi dua lagu iaitu Bertuah dan 7251364.

Tidak ketinggalan, persembahan kumpulan Alpha yang menampilkan tujuh anggota berduet bersama Elite menerusi lagu Di Pintu Syurga selain lagu popular mereka seperti Mona Lisa serta P Ramlee dan Saloma.

Selain peminat setia, ahli keluarga setiap anggota Elite juga hadir memberi sokongan pada konsert berkenaan.

Antara rakan artis yang hadir memberi sokongan pada konsert ialah Datuk Norman Abdul Halim, Zed Zaidi, Zain Saidin, Noorkhiriah, Erysha Emyra dan ramai lagi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top