Keluar sendiri selepas 6 hari hilang di hutan

Keluar sendiri selepas 6 hari hilang di hutan

am@hmetro.com.my

Kuala Nerus: Selepas enam hari, buruh yang hilang ketika memikat burung di hutan Bukit Sudu, di sini akhirnya ditemui selamat hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md Din berkata, mangsa, Mohd Azani Alias, 37, berjaya keluar sendiri dari hutan ke Kampung Lingai, Batu Rakit.

Katanya, seorang penduduk kampung kemudian membawa mangsa ke pos kawalan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di Felcra Bukit Sudu.

“Mangsa tiba di pos kawalan SAR pada 3.40 petang. Dia dalam keadaan baik dan dihantar oleh Angkatan Pertahanan Malaysia (APM) ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu untuk pemeriksaan kesihatan,” katanya ketika dihubungi.

Abdul Rahim berkata, pihaknya akan merakam keterangan mangsa sebaik selesai pemeriksaan di hospital.

“Penemuan mangsa sekali gus menutup SAR yang digerakkan sejak 21 Mac lalu,” katanya.

Pada 22 Mac lalu, media melaporkan Mohd Azani hilang selepas ke hutan berkenaan seorang diri untuk memikat burung.

Dia keluar dari rumah keluarga di Kampung Pengkalan Arang di sini pada 6.30 pagi, 20 Mac lalu namun gagal dihubungi sebelum keluarga membuat laporan polis pada 21 Mac.

© New Straits Times Press (M) Bhd