am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Peguam mewakili keluarga Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir berharap polis melaksanakan penggalian semula kubur pelajar terbabit bagi menentukan punca sebenar kematiannya.
Dua peguam terbabit yang mewakili ibu Zara Qairina, Hamid Ismail dan Shahlan Jufri dalam kenyataan hari ini turut berharap siasatan dilakukan pegawai penyiasat berpengalaman dari Bukit Aman.
“Kami berharap perkara ini sudah dimasukkan dalam arahan selaras perkara yang dipohon dalam surat kami bertarikh 5 Ogos 2025 kepada Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar.
“Kami turut berharap satu inkues diadakan untuk menentukan sama ada wujud unsur jenayah dalam kematian Zara,” katanya.
Mengulas lanjut, bagi membantu melengkapkan siasatan polis, ibu Zara, Noraidah Lamat akan menyerahkan telefon bimbitnya yang mengandungi rakaman audio perbualan telefon di antara dia dan Zara kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu petang ini.
Peguam terbabit turut berterima kasih kepada Jabatan Peguam Negara yang bertindak mengembalikan laporan penuh siasatan awal berkaitan kematian Zara Qairina semalam.
Katanya, Jabatan Peguam Negara turut memberi arahan kepada polis berhubung beberapa perkara tertentu untuk dilengkapkan sebelum mengambil tindakan lanjut.
© New Straits Times Press (M) Bhd
