am@hmetro.com.my
Papar: Keluarga yang terjejas akibat tanah runtuh di Kampung Mook dan Kampung Marahang Tuntul di daerah ini semalam diberikan penempatan sementara bagi meringankan beban mereka susulan tragedi yang mengorbankan lima nyawa itu.
Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, pihaknya bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Limbahau, Datuk Juil Nuatim sudah berbincang untuk menempatkan keluarga terjejas di balai raya kampung berkenaan sebagai pusat penempatan sementara (PPS).
“Buat sementara ini, keluarga terbabit dipindahkan ke PPS Kampung Mook dan Kampung Marahang Tuntul.
“Kita juga sedang berbincang dengan mereka untuk ditempatkan sama ada di rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) atau rumah sewa sehingga penilaian risiko risiko dibuat kawasan rumah mereka yang berdekatan dengan cerun bukit,” katanya ketika ditemui di PPS Dewan Lok Kawi Height, di sini, hari ini.
Armizan yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup berkata, bantuan itu adalah tambahan kepada Bantuan Wang Ihsan (Kematian) RM10,000 yang diumumkan Ketua Menteri semalam.
Dalam kejadian semalam, dua penduduk Kampung Mook dan tiga di Kampung Marahang Tuntul maut selepas tertimbus tanah runtuh berikutan hujan lebat berterusan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




