Kematian akibat COVID-19 di Brazil lepasi 300,000

Kematian akibat COVID-19 di Brazil lepasi 300,000

BRASILIA: Angka kematian COVID-19 di Brazil melepasi 300,000 orang, menjadikan ia negara kedua paling tinggi selepas Amerika Syarikat (AS).

Menurut Kementerian Kesihatan, angka kematian COVID-19 di negara itu kini berjumlah 300,685 orang daripada 12.2 juta jangkitan.

Presiden Jair Bolsonaro mengumumkan pelancaran sebuah jawatankuasa krisis untuk menangani pandemik itu, perubahan yang dilakukan selepas menerima tekanan.

Presiden itu berjanji tidak akan ‘mempolitikkan’ pandemik itu, selepas mengadakan pertemuan dengan ketua Kongres, Ketua Hakim Mahkamah Agung, Ketua Bank Pusat, sebahagian besar Kabinetnya dan enam dari 27 gabenor Brazil.

“Sentimen yang berlaku adalah solidariti dan komitmen untuk meminimumkan kesan pandemik.

“Kehidupan didahulukan,” katanya.

Organisasi Kesihatan Pan Amerika (PAHO) memberi amaran bahawa keadaan di Brazil ‘mengerikan’ dan mengancam wilayah lain.

“Virus ini terus berleluasa di seluruh Brazil.

“Kes dan kematian meningkat, malah pesakit di unit rawatan rapi sangat tinggi di banyak negeri,” kata Pengarah PAHO, Carissa Etienne di Washington. – AFP

© New Straits Times Press (M) Bhd