Kematian Shireen Abu Akleh belum terbela

Kematian Shireen Abu Akleh belum terbela
Kematian Shireen Abu Akleh belum terbela

FBI melancarkan siasatan pada November 2022, namun tiada kemajuan ketara sehingga kini.

WASHINGTON – Kematian wartawan Al Jazeera, Shireen Abu Akleh ketika membuat liputan di Tebing Barat, kira-kira empat tahun lalu masih belum mendapat sebarang pembelaan.

Sehingga kini, tiada pelaku bertanggungjawab diheret ke muka pengadilan.

Keluarga mangsa dengan lantang mengkritik Amerika Syarikat (AS) kerana gagal menegakkan keadilan buat Shireen.

Menerusi kenyataan pada Isnin, jurucakap keluarganya memberi amaran tentang budaya ‘kebal’ daripada sebarang hukuman yang terus diamalkan tentera Israel.

“Ia sememangnya mengancam nyawa petugas media lain. Kami sudah melihat jenayah serupa di Gaza dan Lubnan selama lebih dua tahun. Kami amat kecewa kerana Washington gagal mengambil tindakan tegas,” kata Lina Abu Akleh sambil menambah AS sepatutnya membela nasib ibu saudaranya yang memegang kerakyatan negara Uncle Sam itu.

Lina turut menyelar ketiadaan kemajuan dalam siasatan dilancarkan Biro Siasatan Persekutuan (FBI) ke atas kejadian pembunuhan tersebut yang turut mendapat liputan meluas seluruh dunia.

“Kami akan terus menuntut keadilan buatnya menggunakan segala saluran yang ada,” tegas Lina lagi.

Pada Khamis lalu, Jawatankuasa untuk Perlindungan Wartawan (CPJ) menggesa pihak berkuasa AS melancarkan semula siasatan ke atas kes tersebut.

Wartawan berusia 51 tahun itu terbunuh pada ketika membuat liputan serbuan tentera Israel di kem pelarian Jenin di Tebing Barat pada 11 Mei 2022.

Ketika kejadian, beliau memakai ves petugas media lengkap dengan topi keledar. Beliau dikejarkan ke hospital di Jenin dalam keadaan kritikal sebelum disahkan meninggal dunia tidak lama selepas itu.

Siasatan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), CNN, The New York Times dan Al Jazeera menyimpulkan bahawa Shireen berkemungkinan besar dibunuh dengan sengaja oleh tentera Israel, meskipun dinafikan oleh mereka sebelum ini. – Agensi

Scroll to Top