am@hmetro.com.my
Melaka: Bekas pegawai bank didenda keseluruhan RM90,000 oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, hari ini, di sini, atas 17 pertuduhan pilihan menerima rasuah berjumlah RM123,132.50 dan gagal melaporkan pemberian suapan berkaitan urusan pinjaman perumahan antara dalam tempoh lima tahun bermula 2019.
Hakim Elesabet Paya Wan menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Mohd Rais Mohamed Ramli, 45, menukar pengakuan kepada bersalah terhadap 17 pertuduhan pilihan hari ini.
Beliau mendenda tertuduh antara RM2,000 hingga RM10,000 atau penjara antara dua bulan dan 10 bulan sekiranya gagal membayar denda mengikut pertuduhan yang dikenakan. Tertuduh membayar denda berkenaan.
Mengikut pertuduhan pertama hingga ke-17, tertuduh didakwa menerima suapan keseluruhan RM123,132.50 daripada Tetuan Arizal Jailani & Co melalui akaun Maybank Syarikat Anugerah Qaseh Enterprise milik isterinya di Maybank Islamic Taman Sri Gombak, Batu Caves, Selangor, antara 13 Disember 2019 hingga 27 Januari 2023.
Suapan itu sebagai upah bagi tertuduh yang ketika itu Ketua Jualan Ibu Pejabat Malaysia Building Society Berhad (MBSB) kerana membantu firma guaman berkenaan diberikan rujukan kes-kes urusan pinjaman perumahan dengan pihak MBSB Bank melalui pegawai eksekutif bank yang berkhidmat di bawah seliaannya.
Tertuduh didakwa melanggar peruntukan Seksyen 16(a) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009 dan tidak melaporkan pemberian suapan itu kepada pegawai SPRM atau polis seperti ditetapkan Seksyen 25(1) akta sama.
Justeru tertuduh melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 25(2) akta sama, memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara maksimum 10 tahun atau dengan kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Mengikut fakta kes, tertuduh selaku Ketua Jualan perlu melakukan perhubungan baik dengan pihak ketiga yang berurusan dengan bank seperti ejen hartanah, pemaju, kontraktor dan peguam.
Dalam menjalankan tugas, tertuduh terikat dengan polisi bank iaitu hanya layak mendapat bonus tahunan dan tidak boleh menerima sebarang komisen daripada pelanggan atau panel peguam yang terbabit dalam keputusan pinjaman pembiayaan hartanah dengan bank itu.
Namun sekitar 2018 hingga 2023 tertuduh didapati meminta suapan daripada firma guaman terbabit melalui seorang individu sebagai komisen kerana membantu memberikan rujukan kes-kes urusan pinjaman perumahan bank itu.
Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Sharina Farhana Nor Sa’ari memohon hukuman setimpal dikenakan kepada tertuduh.
Peguam SS Amritpal Singh yang menyebut bagi Tetuan Andrew & Associates merayu tertuduh dikenakan denda minimum atas alasan anak guamnya sudah diberhentikan sebaik didakwa dan kini bekerja sebagai ejen hartanah bebas serta perlu menanggung isteri tidak bekerja dan tiga anak berusia sembilan hingga 19 tahun serta ibu yang uzur.
Pada 25 Februari 2025 tertuduh didakwa atas 26 tuduhan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 iaitu meminta suapan berjumlah RM153,622.47 dalam tempoh lima tahun bermula 2018.
Berikutan tertuduh mengaku bersalah atas 17 pertuduhan pilihan, mahkamah melepaskannya atas baki sembilan pertuduhan utama mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 yang diambil pertimbangan selaras peruntukan Seksyen 171A Kanun Tatacara Jenayah selepas dipohon pendakwaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




