Mahkamah Rayuan AS gantung sementara keputusan mengenai tarif Trump

Mahkamah Rayuan AS gantung sementara keputusan mengenai tarif Trump
Mahkamah Rayuan AS gantung sementara keputusan mengenai tarif Trump

Donald Trump. Foto Agensi

WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat, (AS) Donald Trump beroleh kemenangan sementara dalam perbalahan undang-undang berhubung dasar tarifnya, lapor Agensi Akhbar Jerman (dpa).

Mahkamah rayuan persekutuan telah menggantung sementara keputusan mahkamah rendah yang mendapati tarif sementara Trump ke atas import dari seluruh dunia menyalahi undang-undang minggu lepas.

Sehubungan itu, pengimport mesti terus membayar duti 10 peratus buat masa ini.

Keputusan mahkamah rayuan bukanlah keputusan muktamad. Sebaliknya, ia menghentikan sementara penghakiman oleh mahkamah rendah – Mahkamah Perdagangan Antarabangsa di New York – sementara hakim rayuan mempertimbangkan permintaan pentadbiran AS.

Plaintif, termasuk negeri Washington dan dua syarikat, kini mempunyai tujuh hari untuk memberi maklum balas.

Jika mahkamah rayuan akhirnya turut menurunkan tarif, pentadbiran Trump masih boleh merayu kepada Mahkamah Agung.

Pentadbiran AS telah berhujah dalam permintaannya untuk menggantung keputusan mahkamah perdagangan bahawa keputusan itu akan “menggugat dengan teruk agenda perdagangan Presiden dan akan menjejaskan kestabilan usaha untuk membaiki defisit perdagangan yang berpanjangan.”

Ia juga berhujah terdapat risiko bahawa tarif yang telah dikutip, serta duti masa depan, boleh hilang secara kekal.

Mahkamah Perdagangan Antarabangsa di New York membuat kesimpulan minggu lepas bahawa Trump telah melampaui kuasanya dengan levi sementara 10 peratus.

Para hakim memutuskan presiden AS itu telah menyalah tafsir undang-undang perdagangan yang disebut sebagai asas untuk langkah tersebut.

Sama ada pentadbiran AS mahupun agensi Kastam dan Perlindungan Sempadan tidak boleh menuntut duti import daripada plaintif, menurut keputusan mahkamah.

Bermula 24 Februari 2026, AS telah mengenakan tarif 10 peratus ke atas kebanyakan import dari luar negara.

Trump memperkenalkan duti berkenaan sejurus Mahkamah Agung mengisytiharkan banyak tarifnya sebelum ini menyalahi undang-undang.

Presiden kemudian beralih kepada penyelesaian kecemasan, bergantung pada undang-undang perdagangan 1974 yang mengehadkan kutipan duti sedemikian kepada maksimum 150 hari. – Bernama

 

 

 

Scroll to Top