MAG tawar penerbangan tambahan, subsidi tambang sempena musim perayaan bulan ini

MAG tawar penerbangan tambahan, subsidi tambang sempena musim perayaan bulan ini

kartika@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Malaysia Aviation Group (MAG) menerusi Malaysia Airlines dan Firefly memperkukuh kesalinghubungan domestik dengan menyediakan tambahan penerbangan serta tambang bersubsidi sempena musim perayaan Hari Raya Aidiladha, Kaamatan dan Gawai yang akan datang.

Langkah ini dilaksanakan bagi memenuhi peningkatan permintaan perjalanan terutama ke destinasi di Malaysia Timur dengan Malaysia Airlines mengoperasikan tambahan 62 penerbangan bagi laluan dengan permintaan tinggi termasuk Kota Bharu, Labuan, Tawau, Sandakan, Kuching, Sibu dan Miri.

MAG menerusi kenyataan berkata, inisiatif itu bertujuan memudahkan lebih ramai rakyat pulang bertemu keluarga pada musim perayaan.

Bagi memastikan akses perjalanan yang lebih meluas ketika tempoh puncak cuti sekolah dan perayaan, MAG turut menyokong inisiatif kerajaan dengan menetapkan siling tambang asas pada kadar RM499 sehala bagi laluan terpilih ke Malaysia Timur.

Tambang khas ini ditawarkan untuk pembelian bermula sekarang hingga 31 Mei 2026 dengan tempoh perjalanan ditetapkan antara 26 hingga 29 Mei 2026 bagi penerbangan Malaysia Airlines ke Kota Kinabalu, Labuan, Sandakan dan Tawau, serta laluan terpilih Firefly ke Kota Kinabalu dan Tawau.

Bagi perjalanan ke Sarawak, tambang itu turut diguna pakai untuk tempoh 28 hingga 31 Mei 2026 membabitkan destinasi Kuching, Miri dan Sibu menerusi Malaysia Airlines, selain laluan terpilih Firefly termasuk Kuching.

Penumpang Malaysia Airlines dan Firefly turut menikmati pengalaman perjalanan yang lebih lancar dengan tawaran perkhidmatan seperti bagasi daftar masuk percuma, hidangan dalam pesawat serta fleksibiliti pertukaran penerbangan bagi kategori tambang terpilih.

Firefly turut menawarkan kelebihan operasi dari dua lapangan terbang iaitu Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 serta Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang, sekali gus memberi lebih pilihan kepada penumpang.

Bagi penerbangan sambungan, Malaysia Airlines menyediakan kemudahan ‘through-checked baggage’ serta hidangan percuma dalam pesawat bagi memastikan pengalaman perjalanan hujung ke hujung yang lebih selesa.

Dalam masa sama, penumpang yang memilih tambang Flex turut menikmati manfaat tambahan seperti pertukaran tarikh penerbangan tanpa had (tertakluk perbezaan tambang), elaun bagasi lebih tinggi serta kelebihan fleksibiliti perjalanan yang lebih menyeluruh.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top