Sembilan pakej Pan Borneo Sabah Fasa 1A dijadual siap tahun ini – Ahmad Maslan

Sembilan pakej Pan Borneo Sabah Fasa 1A dijadual siap tahun ini – Ahmad Maslan

PUTATAN: Sebanyak sembilan pakej kerja Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah Fasa 1A dijadualkan akan siap sepenuhnya pada tahun ini, kata Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr. Ahmad Maslan.

Beliau berkata, pakej kerja terbabit melibatkan WP1, WP3, WP4, WP7, WP8, WP10, WP11, WP29 dan WP30.

Menurutnya, Kementerian Kerja Raya (KKR) komited mempercepatkan pelaksanaan projek Pan Borneo Sabah bagi memastikan kemudahan prasarana rakyat dapat disiapkan mengikut jadual.

“Saya ingin memaklumkan satu perkara yang belum dimaklumkan kepada umum iaitu sembilan pakej kerja Pan Borneo Sabah Fasa 1A akan disiapkan pada tahun 2026 ini.

“Sebelum ini, empat pakej kerja sudah siap lebih awal antara tahun 2023 hingga 2025 iaitu WP5, WP15, WP21 dan WP27,” katanya dalam sidang media di Wisma Pan Borneo, Jabatan Kerja Raya (JKR) Putatan, di sini hari ini. Turut hadir Pengarah JKR Sabah, Baharuhom K.K. Sogon.

Dalam pada itu, Ahmad berkata, empat lagi pakej kerja dijangka siap pada tahun depan membabitkan WP2, WP12, WP19 dan WP28.

Menurutnya, baki projek lain pula dijadualkan siap secara berperingkat sehingga tahun 2030.

“Jangkaan kami, 12 pakej kerja lagi siap pada 2028, tiga lagi pada 2029 dan akhirnya WP26, WP34 dan WP35 akan disiapkan pada 2030 sekali gus melengkapkan Pan Borneo Sabah Fasa 1A dan 1B.

“Harapan saya, apa yang boleh dipercepatkan akan kita percepatkan supaya lebih banyak kemudahan infrastruktur dapat dinikmati rakyat,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, dua lagi pakej kerja akan dibuka pada Julai ini bagi menghubungkan Putatan dengan Menggatal tanpa melalui pusat bandar Kota Kinabalu.

Menurutnya, pembukaan laluan membabitkan WP6 dan WP7 itu dijangka membantu mengurangkan kesesakan trafik di ibu negeri.

“Ini akan meringankan kesesakan di Kota Kinabalu kerana pengguna yang tidak mempunyai urusan di bandar raya boleh terus menggunakan laluan ini,” katanya.

Mengulas perkembangan Pan Borneo Sabah Fasa 1B, Ahmad berkata, kerja pengalihan utiliti membabitkan Sabah Electricity, Jabatan Air Negeri Sabah dan Telekom Malaysia sudah dimulakan selepas isu pelantikan subkontraktor selesai.

Katanya, kelewatan projek sebelum ini berpunca daripada proses pengalihan utiliti, namun koordinasi antara kementerian dan agensi berkaitan kini diperkukuhkan menerusi mesyuarat bulanan.

Beliau turut mengakui cabaran utama kontraktor ketika ini ialah aspek pengurusan projek dan kewangan.

Walau bagaimanapun, beliau berkata KKR sentiasa melakukan pemantauan rapi bagi memastikan pelaksanaan projek berjalan lancar.

“Kita mahu keputusan dibuat segera dan pemantauan terus dipertingkatkan supaya projek ini dapat disiapkan mengikut sasaran,” katanya. – UTUSAN

Scroll to Top