Zawawi mohon maaf, akui kurang cermat

Zawawi mohon maaf, akui kurang cermat
Zawawi mohon maaf, akui kurang cermat

Nik Muhammad Zawawi memohon maaf dan mengaku khilaf ucapan susulan kontroversi membabitkan pengucapannya yang tular.

KOTA BHARU – Ahli Parlimen Pasir Puteh, Nik Muhammad Zawawi Salleh tampil memohon maaf susulan kontroversi membabitkan pengucapannya yang tular.

Beliau mengakui kurang cermat dalam mengolah maklumat serta penyampaian ketika memberikan kenyataan berkenaan.

Menurutnya, beliau menghargai segala teguran, nasihat dan pandangan yang diberikan oleh para tuan guru, asatizah, sahabat serta masyarakat berhubung isu tersebut.

“Saya mengakui bahawa saya kurang cermat dalam mengolah maklumat serta penyampaian ketika memberikan kenyataan tersebut.

“Justeru itu, saya dengan rendah hati memohon maaf atas kekhilafan tersebut,” katanya menerusi kenyataan pada Rabu.

Kontroversi sebelum ini tercetus selepas tersebar sedutan ucapan bekas Ketua Dewan Ulama Pas Pusat itu dalam satu ceramah yang dianggap menghina sahabat Rasulullah iaitu Abu Bakar as-Siddiq, Umar al-Khattab, Usman al-Affan dan Ali Abi Talib.

Difahamkan kenyataan itu disampaikan dalam satu program ceramah politik di Kuala Terengganu, Terengganu pada hujung minggu lalu.

Susulan itu, Dewan Ulamak Pas Pusat menegur Nik Muhammad Zawawi dan mengakui ada beberapa kesilapan fakta dalam ceramah berkenaan.

Nik Muhammad Zawawi berkata, kenyataan yang dibuat sebelum ini sama sekali tidak berniat untuk menjatuhkan maruah atau menghina insan-insan terpilih yang dimuliakan ALLAH SWT.

Jelasnya, tujuan asal kenyataan itu hanyalah untuk menjelaskan mengenai kehebatan risalah Islam yang dibawa Nabi Muhammad SAW dalam mengubah sosio budaya masyarakat jahiliah kepada kehidupan yang lebih mulia dan berperadaban.

Dalam pada itu, beliau turut mengambil tanggungjawab penuh terhadap isu berkenaan dan menegaskan itu adalah kekhilafan peribadi yang tidak berkaitan dengan pendirian Pas atau kepimpinannya.

“Semoga ALLAH SWT mengampunkan segala kekhilafan saya dan menerima segala usaha kita semua dalam menyampaikan dakwah dengan hikmah dan kebijaksanaan,” katanya.

Scroll to Top