'Kemenangan simbolik buat arwah ayah'

'Kemenangan simbolik buat arwah ayah'

syafil.syazwan@hmetro.com.my

AIR mata yang jatuh di pipi malam kemenangan itu bukan sekadar kerana rasa syukur, tetapi kerana momen penuh kerinduan yang tidak pernah padam dalam kamus hidupnya.

Di sebalik trofi Pelakon Wanita Terbaik yang digenggam pada Festival Filem Malaysia ke-34 (FFM34), Sweet Qismina menyimpan detik peribadi yang dekat di hati, iaitu kisah antara seorang anak dan bapa yang sudah lama pergi.

Filem Babah yang mengangkat kisah kasih sayang seorang bapa dan anak, menjadi naskhah yang mengikat emosi Sweet dari awal hingga akhir.

Setiap dialog, setiap babak, dirasainya seolah-olah dia berbicara dengan arwah bapanya sendiri.

“Impaknya kepada saya adalah ketika menjayakan babak Maya melangsungkan perkahwinan. Dalam dunia nyata, arwah ayah saya sudah meninggal dunia dan panggilan ‘babah’ itu juga adalah panggilan untuk arwah.

“Itu juga menjadi salah satu sebab mengapa saya menerima tawaran ini kerana ia terlalu dekat dengan diri saya. Dalam dunia nyata, saya tak dapat melalui detik meraikan hari bahagia dengan kehadiran arwah ayah saya.

“Disebabkan itu, saya merasakan babak perkahwinan itu sangat istimewa. Saya curahkan apa yang saya tak mampu untuk luahkan kepada arwah menerusi babak itu,” katanya.

Bagi Sweet, kemenangan penuh makna itu bukan sekadar kejayaan profesional, tetapi hadiah simbolik buat arwah bapa yang menjadi sumber semangat dan kasih tanpa sempadan sejak dulu.

Sweet mengakui pada awalnya dia ragu-ragu saat ditawarkan membintangi Babah kerana beranggapan watak Maya terlalu berat dan mencabar dari segi emosi serta fizikal.

Namun, naluri hatinya kuat mengatakan naskhah itu bukan sekadar watak, ia adalah peluang untuk mempersembahkan sesuatu yang benar-benar bermakna.

“Apabila saya terima tawaran untuk berlakon dalam Babah, saya lihat watak Maya ini terlalu berat. Namun, itulah yang membuatkan saya tertarik kerana ada tiga perkara yang saya rasa mungkin mustahil untuk saya buat.

“Antara cabaran yang dihadapi ialah perlu menurunkan berat badan dalam masa sebulan, memahami sindrom Guillain-Barré dengan mendalam, serta mempelajari bahasa isyarat dalam tempoh singkat.

“Sentuhan pengarah juga sangat membantu. Ramai yang berdiri di belakang tabir filem ini. Tanpa mereka, tak akan wujud watak Maya ini dan mungkin sukar untuk buatkan orang sayang kepada watak itu,” katanya.

Apabila namanya diumumkan sebagai penerima anugerah Pelakon Wanita Terbaik FFM34, Sweet mengakui dia terpaku dan tidak menyangka rezeki berpihak kepadanya.

“Alhamdulillah, syukur. Ini adalah benda yang saya tak pernah terfikir. Panjang lagi perjalanan saya dalam industri dan masih banyak yang perlu saya teroka,” katanya merendah diri.

Sweet berkata, berada sebaris dengan pelakon hebat seperti Nabila Huda, yang turut tercalon dalam kategori sama, sudah cukup membuatkan dirinya bangga.

“Berada bersama seniwati hebat yang saya kagumi sejak kecil, berada dalam senarai Top 5 (FFM5) bersama mereka cukup membanggakan diri saya.

“Dalam jangkaan saya, yang akan menang adalah Nabila Huda. Kak Abil (Nabila) ada kualiti kerja yang sangat bagus,” katanya.

Malam penuh bersejarah itu turut menjadi detik indah buat ibunya, yang hadir bersama menyaksikan detik kemenangan sang anak.

“Saya bawa Mama bersama saya memandangkan suami saya sedang terbabit dalam pementasan teater, jadi aturan Allah itu sangat sempurna.

“Secara tak langsung, saya berkongsi kejayaan ini bersama Mama yang menjaga dan menguruskan saya sejak kecil sehingga sekarang,” katanya.

Sweet menyifatkan kemenangan itu sebagai hasil doa dan pengorbanan ibunya yang tidak pernah berhenti menyokong sejak dia bertatih dalam dunia lakonan hingga kini.

“Kejayaan bukan untuk saya sahaja, tetapi juga untuk Mama selain berkat doa orang-orang di sekeliling saya,” katanya.

Meskipun kemenangan di FFM34 menjadi satu pencapaian besar dalam karier seninya, Sweet menegaskan trofi itu bukan alasan untuk berasa selesa.

Sebaliknya, ia menjadi amanah yang perlu dijaga sebaik mungkin.

“Selepas ini, saya akan pastikan menjaga kualiti lakonan, jaga nama baik kategori Pelakon Wanita Terbaik FFM ini dengan penuh semangat,” katanya.

Katanya, anugerah itu bukan sekadar simbol pengiktirafan, tetapi juga satu ujian untuk melihat sejauh mana dia mampu mengekalkan disiplin dan kualiti kerja pada masa depan.

“Sejujurnya, kemenangan ini sangat ‘membebankan’ kerana ini salah satu anugerah berprestij di Malaysia dan kategori yang semua pelakon wanita mahukan.

“Seperti saya katakan, ini juga tanggungjawab besar untuk saya galas pada masa akan datang,” katanya.

Selain kategori Pelakon Wanita Popular, filem Babah arahan Mohd Shah Faizul turut membawa pulang anugerah lain iaitu Filem Terbaik, Pelakon Lelaki Terbaik, Pengarah Harapan (Mohd Shah Faizul), Cerita Asal Terbaik (Nadia Nadzri) dan Lakon Layar Terbaik (Wan Rafiq).

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top