Kempen #ApaKhabarBigTree sokong kesedaran kesihatan mental

Kempen #ApaKhabarBigTree sokong kesedaran kesihatan mental

Kuala Lumpur : Big Tree Outdoor, peneraju pasaran industri pengiklanan luaran di Malaysia, juga anak syarikat milik Media Prima Berhad mengumumkan pelancaran kempen Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR), iaitu “Apa Khabar?” atau dikenali sebagai #ApaKhabarBigTree.

Kempen ini bertujuan meningkatkan semangat rakyat Malaysia sebagai inisiatif memberi sokongan kepada kesedaran kesihatan mental melalui paparan mesej positif dan gambar rakyat Malaysia di papan iklan digital luar (DOOH).

Big Tree berhasrat untuk memanfaatkan kekuatan dan pengaruh DOOH bagi mengingatkan rakyat Malaysia supaya bertanya khabar kepada orang tersayang sekali gus memberi mereka peluang menyebarkan mesej positif serta memaparkan diri di papan iklan DOOH di sekitar Lembah Klang.

Melalui kempen #ApaKhabarBigTree ini, Big Tree juga ingin memberi sokongan menentang stigma negatif yang merangkumi isu kesihatan mental.

Kajian Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) Kebangsaan mendapati bahawa satu daripada tiga warganegara Malaysia mengalami masalah kesihatan mental.

Memandangkan kesihatan mental adalah kritikal bagi setiap individu untuk pembangunan peribadi, komuniti dan sosioekonomi, Big Tree berpendapat bahawa isu sosial ini perlu diberi perhatian.

Ketua Pegawai Operasi Big Tree, Stephanie Wong berkata, lazimnya, individu akan berkongsi hal peribadi dengan orang tersayang sahaja dan tidak akan terfikir platform seperti DOOH yang dilihat berjuta orang setiap hari untuk berkongsi sebarang mesej peribadi mereka.

“Kita juga tidak biasa memulakan amalan bertanya khabar kepada orang tersayang, apatah lagi melibatkan topik sensitif seperti isu kesihatan mental.

“Walau bagaimanapun, kita harus mengubah persepsi tersebut dan mendorong rakyat untuk mengamalkan perbincangan isu kesihatan mental secara terbuka.

“Oleh itu, kami berharap melalui kempen #ApaKhabarBigTree ini, kami bukan sahaja menggalakkan rakyat Malaysia untuk meningkatkan semangat satu sama lain melalui paparan mesej dan gambar positif di papan iklan DOOH di seluruh Lembah Klang, tetapi juga mengingatkan mereka untuk sentiasa bertanya khabar orang tersayang.

“Kami berharap inisiatif ini secara tidak langsung meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap isu kesihatan mental,” katanya.

Kempen #ApaKhabarBigTree sokong kesedaran kesihatan mental

Kempen ini mendorong setiap rakyat Malaysia berumur 18 tahun dan ke atas untuk merebut peluang melihat mesej positif dan gambar mereka di papan DOOH Big Tree di sekitar Lembah Klang.

12 pemenang peraduan ini akan dipilih untuk menerima hadiah-hadiah menarik seperti muncul pada papan DOOH Big Tree dari 10 Oktober hingga 31 Oktober 2023, e-baucar WOWSHOP bernilai RM50 dan dua sesi konsultasi percuma bersama pakar kesihatan mental.

Sesi konsultasi tersebut boleh digunakan oleh pemenang atau dihadiahkan kepada orang tersayang.

Penyertaan dibuka mulai 1 September hingga 17 September 2023.

Untuk maklumat lanjut mengenai kempen ini, layari www.bigtree.com.my/apakhabar atau ikuti Big Tree di media sosial Facebook dan Instagram di @bigtreeoutdoormy. 

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top