zaky@bh.com.my
KUALA LUMPUR: Sime Darby Property Bhd meraih tempahan jualan mencecah RM572 juta menerusi kempen ‘Siap, Sedia, Raya’ yang berlangsung dari 15 April sehingga 31 Mei lalu.
Pengarah Urusan Kumpulan Sime Darby Property, Datuk Azmir Merican, berkata pemaju hartanah itu berjaya memperoleh tempahan jualan bagi 662 unit hartanah dan rumah kediaman di 14 perbandaran miliknya sepanjang kempen terbabit berlangsung.
Katanya, rancangan pelancaran taktikal syarikat dan insentif Kempen Pemilikan Rumah (HOC) 2021 yang dijalankan oleh kerajaan terbukti menjadi gabungan yang hebat untuk kempen itu.
“Faktor sokongan lain seperti Kadar Dasar Semalaman (OPR) yang rendah, pengecualian duti setem dan penghapusan 70 peratus margin had pembiayaan bagi harta kediaman ketiga juga turut menyumbang kepada kejayaan kempen ini.
“Pencapaian ini adalah susulan daripada pengambilan jualan menggalakkan pada kadar lebih 90 peratus yang diperoleh syarikat sejak awal tahun ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Azmir berkata, strategi jualan dan rancangan pemasaran Sime Darby Property dalam menawarkan produk yang selaras dengan keperluan lokasi serta jualan pada titik harga yang tepat telah terbukti berkesan.
“Dengan lanjutan HOC yang diumumkan oleh kerajaan baru-baru ini, kami menantikan sambutan yang sama untuk pelancaran syarikat yang akan datang sepanjang tahun ini,” katanya.
Beliau berkata, berdasarkan trend pembelian pelanggan, syarikat itu meramalkan permintaan untuk produk jenis kediaman bertanah dijangka semakin meningkat.
“Justeru, Sime Darby Property akan berusaha untuk memenuhi kehendak pelanggan kami dengan produk baharu dan sedia ada,” katanya.
Kempen ‘Siap, Sedia, Raya’ menawarkan pembeli sehingga RM10,000 tawaran Hari Raya di samping pakej jualan semasa untuk hartanah terpilih di City of Elmina, Bandar Bukit Raja, Ara Damansara, Subang Jaya City Centre, Putra Heights, KL East Mall, Melawati, KLGCC Resort, Serenia City, Nilai Impian, Planters’ Haven, Chemara Hills, Bandar Ainsdale dan Bandar Universiti Pagoh.
Tawaran itu termasuk faedah daripada ‘Your Instalments on Us’ sehingga 36 bulan di hartanah terpilih di samping kempen HOC.
Bakal pembeli rumah turut menikmati pengalaman pembelian yang mudah bagi hartanah pilihan mereka melalui penyediaan kit jualan dalam talian yang direka khas oleh Sime Darby Property melalui platform digital syarikat.
© New Straits Times Press (M) Bhd




