OLEH: Sheikh Dr Ahmad al-Damanhuri, pensyarah Akademi Islam Uzbekistan
Salah satu sebab mengapa Mesir tidak berperang ialah kerana orang Arab hari ini bukan lagi seperti Arab dahulu.
Orang Arab dahulu pernah mempunyai impian mengenai penyatuan dunia Arab, yang mereka panggil sebagai ‘impian Arab’ (الحلم العربي).
Tetapi kini, keadaan sudah berubah sepenuhnya.
Sebahagian besar mereka hanya berkomplot menentang satu sama lain. Malah ada yang sanggup bersekongkol dengan rejim Zionis dalam merosakkan dunia Arab dan melemahkan kekuatannya.
Keadaan ini seakan mengulangi zaman ‘Muluk al-Tawaif’ (era perpecahan umat Islam di Andalus) iaitu raja-raja wilayah kecil yang saling bergaduh, ada kalangan raja ini bersekutu dengan musuh-musuh mereka sendiri, sambil berkata:
إنج سعد فقد هلك سعيد
“Selamatlah kau, wahai Saad, kerana sainganmu Said telah binasa!”
Tanpa mereka yang malang ini sedar, nasib mereka juga akan turut binasa! — sebagaimana kisah lembu putih yang dimakan singa.
(Pnj: kisah tiga ekor lembu — putih, hitam dan merah — yang dimakan seekor singa satu demi satu setelah mereka berpecah)
Gambar yang dilampirkan ini adalah dari sesi pertama Mahkamah Jenayah Antarabangsa yang membicarakan kes Sudan terhadap sebuah negara Arab yang terkenal (Pnj: UAE), yang dituduh:
1. Membunuh orang awam,
2. Membekalkan senjata kepada puak pemberontak, dan
3. Menyebabkan Sudan huru-hara serta terbabit dalam perang saudara yang langsung tidak menguntungkan Sudan mahupun dunia Arab.
Sesungguhnya, telah menjadi kenyataan apa yang Nabi Muhammad SAW pernah sabdakan:
وَصَارَ بَأْسُنَا بَيْنَنَا
“Tidak akan datang musibah ke atas kamu melainkan dari perpecahan dan permusuhan antara kamu sendiri.”
(Pnj: Wallahua’lam, bukan Hadis. Frasa ini sebenarnya adalah inspirasi dari Surah al-An‘am ayat 65)
Dan kini, kita sedang saling melaga-lagakan, menyebar fitnah, berita palsu, pembohongan dan kekacauan!
Ironinya, negara yang dimaksudkan itu juga (Pnj: UAE) adalah penaja dan penyumbang besar kepada beberapa institusi pemikiran dan budaya yang berada di Mesir, antaranya:
1. Tabah Foundation “مؤسسة طابة” (yang diketuai Habib Ali al-Jifri).
2- Mominoun Without Borders “ومؤسسة مؤمنون بلا حدود” (dikaitkan dengan Abdul Majid al-Sharafi dan rakan-rakannya).
Dan tidak dapat dipastikan sama ada ia juga mempunyai kaitan dengan Taqueen “مؤسسة تكوين الفكر العربي” (yang dikenali menerusi Islam Behery dan Ibrahim Eissa) atau tidak.
Negara itu juga pernah menyokong tokoh kontroversi seperti:
1. Muhammad Shahrour yang menghina dan memesongkan ajaran Islam dalam tulisannya.
2. Adnan Ibrahim, menerusi versi pemikirannya yang terkini.
Barangkali ini adalah strategi halus—menyebar kekeliruan dan fitnah atas nama pemikiran progresif, untuk melemahkan umat Islam dari dalam. Mereka menyokong satu idea, dan dalam masa sama menyokong idea lain yang bertentangan dengannya!
Dan boleh dipersoalkan, apa sebenarnya yang mereka cari? Adakah mereka mahu:
Kedudukan? Pengaruh? Atau sekadar cara untuk kekal relevan selepas tamatnya era minyak petrol?
Apa pun jawapannya, semua ini sebenarnya boleh dicapai dengan cara yang lebih bermaruah, tanpa perlu tunduk kepada projek jahat yang menghancurkan dunia Arab, dan tanpa perlu merosakkan diri sendiri:
ولله في خلقه شؤون!
“Allah jualah yang Maha Mengetahui segala urusan makhluk-Nya!”
Tidak mengapa…:
وَإِن تَتَوَلَّوْا۟ يَسْتَبْدِلْ قَوْمًا غَيْرَكُمْ ثُمَّ لَا يَكُونُوٓا۟ أَمْثَـٰلَكُم ٣٨
“Dan jika kamu berpaling (daripada beriman, bertaqwa dan berderma) Ia akan menggantikan kamu dengan kaum yang lain; setelah itu mereka tidak akan berkeadaan seperti kamu.”
(Muhammad: 38)
ZULHILMI AZIZ ABDUL HANNAN – HARAKAHDAILY 17/4/2025
Bacaan tambahan:
Pautan asal tulisan (11/4/2025):
لماذا لا تحارب مصر؟
https://www.facebook.com/share/p/15ZSvexPKe/?mibextid=oFDknk
World Court begins hearing Sudan’s case accusing United Arab Emirates of ‘complicity in genocide’:
https://news.un.org/en/story/2025/04/1162066
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!




