KenTeam bos baharu Melaka United

KenTeam bos baharu Melaka United

syafiq.aznan@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Pemain Melaka United (MU) tidak lagi perlu gusar untuk memberikan aksi terbaik selepas pasukan itu kini dimiliki bos baharu iaitu syarikat pengeluar sarung tangan, KenTeam Sdn Bhd.

Menerusi memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani antara kedua-dua belah pihak itu di ibu negara hari ini, KenTeam Sdn Bhd akan memegang 70 pemilikan saham dalam pasukan itu sementara baki 30 peratus lagi dipegang Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA).

Ketua Pegawai Eksekutif KenTeam Sdn Bhd, Datuk Seri Justin Lim menjelaskan pihaknya berminat untuk menjalinkan kerjasama selepas melihat potensi MU yang beraksi dalam Liga Super mampu menjadi sebuah pasukan yang disegani dan terkemuka di negara ini.

“Kami ada banyak perancangan yang terbaik dan dengan kerjasama pengurusan sedia ada, kami percaya dapat membawa MU ke tahap yang lebih tinggi.

“Bukan sahaja daripada sudut kewangan tetapi kami juga akan memberi sokongan secara moral kepada pasukan. Kita akan pastikan kejayaan dapat dikecapi,” katanya.

Selain MoU, turut berlangsung majlis pelancaran jersi ketiga MU yang menggunakan warna biru laut serta pelancaran bas pasukan yang disempurnakan Ketua Menteri Melaka merangkap Pengerusi MU, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MU, Datuk Mohd Saiful Md Sapri mendedahkan pasukan itu tidak lagi bergelut dengan masalah tunggakan gaji buat masa ini.

“Setakat ini gaji musim ini tidak pernah tertunggak. Kami sudah selesaikan gaji Februari mengikut masanya dan kami pun akan selesaikan bulan Mac pada masanya juga.

“Jadi pemain tiada alasan tidak mahu main sebab tiada gaji. Tidak perlu risau kerana saya sudah berbincang dengan Datuk Seri Justin membabitkan isu kewangan. Saya rasa kewangan kita cukup sampai hujung tahun,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top