KPDN salur bantuan Program Ihsan Food Bank UPNM, perkasa GPS

KPDN salur bantuan Program Ihsan Food Bank UPNM, perkasa GPS

mhafis@mediaprima.com.my

Sungai Besi: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) meneruskan usaha membantu mahasiswa menghadapi cabaran kos sara hidup menerusi penganjuran Program Ihsan Food Bank (i-FB) @ Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) 2026.

Program yang diadakan dengan kerjasama UPNM itu disertai kira-kira 800 pelajar terdiri daripada ahli Gerakan Pengguna Siswa (GPS) dan pelajar baharu yang mengikuti Minggu Perkasa Jati Diri (MPJD) bagi sesi akademik 2026/2027.

Pengarah KPDN WPKL, Mohd Sabri Seman berkata, penganjuran program itu adalah sebahagian daripada usaha berterusan KPDN WPKL membantu golongan sasar khususnya mahasiswa melalui penyampaian bantuan serta pengukuhan pendidikan kepenggunaan.

Katanya, inisiatif berkenaan melengkapi pelbagai program lain yang dilaksanakan KPDN termasuk Program Jualan Rahmah MADANI dan aktiviti advokasi kepenggunaan.

“GPS memainkan peranan penting sebagai agen dan penggerak kepenggunaan di institusi pengajian tinggi selain menjadi platform untuk menyebarluaskan pendidikan kepenggunaan kepada mahasiswa melalui pendekatan lebih kreatif, interaktif dan dekat dengan generasi muda.

“Antara contoh pendekatan berkesan ialah pementasan Teater “REMPUH” yang berjaya meningkatkan kesedaran pelajar mengenai isu kepenggunaan khususnya berkaitan penipuan dalam talian dan hak-hak pengguna,” katanya pada sidang media selepas Program Ihsan Food Bank (i-FB) @ Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) 2026, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Universiti (HEPA) UPNM, Kolonel (K) Prof Dr Khairol Amali Ahmad.

Menurutnya, sehingga kini, terdapat 196 GPS di seluruh negara termasuk 11 yang aktif di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

“Program Ihsan Food Bank adalah kesinambungan Program Food Bank Malaysia yang diperkenalkan pada 2018 bagi mengurangkan pembaziran makanan serta menyalurkan lebihan makanan kepada golongan memerlukan termasuk asnaf, B40, miskin tegar, mangsa bencana, pelajar dan institusi kebajikan.

“Bermula tahun ini, program itu diberi nafas baharu dengan mengangkat konsep 3S iaitu Santuni Komuniti, Sayangi Alam dan Selamatkan Makanan bagi memperkukuh keterjaminan makanan serta memelihara kelestarian alam sekitar,” katanya.

Selain itu, katanya, KPDN WPKL turut membiayai sebahagian kos penganjuran Teater “REMPUH” dan Program Ihsan Food Bank @ UPNM dengan jumlah keseluruhan RM13,598 sebagai manifestasi komitmen kementerian dalam memperkasa agenda kepenggunaan dan kebajikan mahasiswa.

Mohd Sabri berkata, pihaknya berharap kerjasama strategik bersama UPNM dapat diteruskan termasuk melalui pewujudan Food Bank Siswa di kampus bagi memastikan pelaksanaan inisiatif i-FB berjalan secara konsisten dan memberi manfaat berterusan kepada warga pelajar.

Dalam program berkenaan, KPDN WPKL menyalurkan Geran Penubuhan GPS UPNM berjumlah RM1,000 selain sumbangan makanan kering bernilai RM7,000 hasil kerjasama Rakan Strategik Utama (RSU) Ihsan Food Bank iaitu Yayasan Al Manjie dan Etika Sdn Bhd.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top