Kepercayaan kunci utama Reality Club kekal sedekad

Kepercayaan kunci utama Reality Club kekal sedekad

Bertahan selama sedekad sebagai sebuah kumpulan bukanlah suatu perjalanan yang mudah. Namun, bagi Reality Club, kepercayaan sesama anggota menjadi kunci utama dalam memastikan mereka terus bersama sehingga hari ini.

Selama 10 tahun dalam industri, garis waktu itu juga menjadi saksi kumpulan indie yang berasal dari Indonesia ini melalui pelbagai fasa dalam kehidupan sebelum band mereka mendapat tempat di hati peminat muzik dari pelbagai negara.

Menurut vokalis dan pemain gitar, Faiz Novascotia Saripudin, komunikasi yang semakin baik menjadi antara pelajaran terbesar mereka sepanjang sedekad bersama.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Banyak perkara yang kami pelajari sepanjang 10 tahun ini. Antaranya adalah bagaimana untuk berkomunikasi dengan lebih baik antara satu sama lain. Kepercayaan juga menjadi perkara yang sangat penting dalam perjalanan kami,” katanya kepada Pancaindera.

Sementara itu, Nugi Wicaksono selaku pemain bass berkata, kepercayaan yang utuh juga mendorong mereka untuk terus kecapi hala tuju band tersebut bersama selari dengan peredaran waktu.

“Kepercayaan itu berkembang secara berbeza dalam setiap fasa. Setiap kali kami bekerja bersama, sama ada ketika menghasilkan album pertama, kedua, ketiga atau keempat, sentiasa ada sesuatu yang baharu untuk dipelajari.

Kepercayaan kunci utama Reality Club kekal sedekad

“Kami juga sudah melalui pelbagai perkara dalam kehidupan dan sekarang berada pada fasa yang sangat berbeza berbanding ketika mula-mula menubuhkan Reality Club,” jelasnya.

Tambah vokalisnya, Fathia Izzati turut menyifatkan perkara itu juga membantu mereka berempat tidak gentar untuk mengharungi pelbagai perubahan dalam industri muzik.

“Kami sudah merasai bagaimana rasanya menjadi kumpulan bebas, berada di bawah syarikat rakaman besar, kemudian keluar dan kini bergerak bersama pihak pengurusan.

“Kami melalui begitu banyak fasa termasuk dari sudut perniagaan. Daripada situ, kami belajar bahawa kami sebenarnya mampu berdiri di atas kaki sendiri, walaupun masih memerlukan bantuan sepanjang perjalanan,” kongsinya.

Meskipun sudah semakin dikenali dan mempunyai pendengar dari pelbagai negara, Faiz berkata, Reality Club tidak pernah menjadikan angka sebagai ukuran utama kejayaan mereka.

“Bagi saya, kejayaan adalah apabila kami masih mampu terus berkarya. Saya rasa kami tidak pernah benar-benar mempunyai sasaran tertentu daripada segi angka.

“Sudah tentu kami berharap jumlah pendengar terus berkembang, tetapi kejayaan bagi saya adalah apabila kami masih dapat melakukan semua ini untuk 10 tahun lagi, terus kreatif dan menghasilkan lebih banyak lagu yang mempunyai makna,” katanya lagi.

Nugi bagaimanapun berharap Reality Club dapat terus menyentuh hati lebih ramai pendengar menerusi hasil karya mereka sepanjang mewarnai industri muzik.

“Bagi saya, kalau kami dapat menyentuh lebih banyak hati, walaupun seorang demi seorang, itu sudah cukup. Itulah yang sentiasa menjadi pegangan saya bersama Reality Club,” ujarnya.

Ditubuhkan pada 2016, Reality Club yang turut dianggotai pemain dram, Era Patigo, bakal kembali menemui peminat Malaysia menerusi konsert ulang tahun ke-10 mereka di Zepp Kuala Lumpur pada 13 November ini.

Scroll to Top