am@hmetro.com.my
Gerik: “Kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun itu masih bernyawa ketika dalam kereta (Perodua Axia) itu yang mana dia terperosok ke bahagian bawah.
“Namun dia meninggal dunia tidak lama selepas dibawa keluar,” kata pemandu lori, Khairul Anuar Abd Manaf, 42, yang menceritakan mengenai mangsa kemalangan di Lebuhraya Timur-Barat (JRTB), hari ini yang mengorbankan empat orang.
Kemalangan itu membabitkan sebuah Perodua Axia dinaiki lima orang serta sebuah lagi kereta dan lori dipandu Khairul Anuar.
Menurutnya, ketika itu dia dalam perjalanan dari Kedah menghala ke Kelantan, manakala kereta dinaiki mangsa pula datang dari arah bertentangan.
Sejurus kemalangan katanya, dia segera membantu mangsa bersama pengguna jalan yang lain.
“Saya bantu mengeluarkan mangsa termasuk orang dewasa yang tersepit, manakala seorang lagi kanak-kanak berumur sembilan tahun cedera parah,” katanya ketika ditemui.
Khairul Anuar berkata, sewaktu mahu mengeluarkan mangsa, mereka sempat mendengar suara kanak-kanak berusia tiga tahun itu dan suara seorang lagi kanak-kanak berumur sembilan tahun yang parah.
Katanya, kejadian itu meninggalkan trauma terhadapnya memandangkan nahas berlaku di depan matanya.
“Waktu nampak Perodua Axia itu, ia dari arah bertentangan tetapi seperti ingin memasuki laluan saya. Saya cuba mengelak tapi kalau pergi ke belah kanan, tak boleh sebab banyak kereta, kalau ke kiri pula nampak macam kereta di depan saya (Proton Persona) hendak menuju ke parit (longkang).
“Tetapi Perodua Axia itu tiba-tiba menuju ke kami (memasuki laluan bertentangan). Saya sudah tekan brek cuma dah tak boleh nak buat apa-apa,” katanya.
Dalam pada itu, kanak-kanak sembilan tahun yang menerima rawatan awal di Hospital Gerik difahamkan dihantar ke Hospital Taiping untuk rawatan lanjut.
Jenazah empat individu yang maut dalam nahas itu pula dijadualkan menjalani proses bedah siasat di Hospital Taiping esok.
© New Straits Times Press (M) Bhd




