Keputusan Rosmah tangguh bayaran lebih RM67 juta pada 12 Ogos

Keputusan Rosmah tangguh bayaran lebih RM67 juta pada 12 Ogos

KUALA LUMPUR: Permohonan Datin Seri Rosmah Mansor untuk menggantung perintah mahkamah yang mengarahnya membayar ganti rugi hampir RM67.5 juta atas kehilangan 43 barang kemas akan diputuskan pada 12 Ogos ini.

Pesuruhjaya Kehakiman, Marianne Antoinette Ghani menetapkan tarikh itu selepas pendengaran permohonan tersebut daripada pihak-pihak terlibat melalui aplikasi Zoom.

Pada prosiding hari ini, Rosmah diwakili peguam Reza Rahim manakala syarikat barang kemas yang memiliki barangan kemas itu, Global Royalty Trading SAL diwakili peguam Venothani Rajagopal.

Pada 10 Jun lalu, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Quay Chew Soon memerintahkan Rosmah untuk membayar ganti rugi sebanyak RM67,461,027.37 dalam tempoh sebulan bermula dari tarikh keputusan tersebut.

Mahkamah mengarahkan demikian selepas mendapati Rosmah bertanggungjawab atas kehilangan 43 barang kemas bernilai AS$14.57 juta.

Mahkamah turut memerintahkan Rosmah membayar kos sebanyak RM150,000 kepada syarikat barang kemas, Global Royalty Trading SAL yang merupakan pemilik barang-barang kemas itu dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang dinamakan sebagai pihak ketiga dalam saman tersebut.

Terdahulu, Reza menghujahkan terdapat keadaan istimewa yang mewajarkan satu penangguhan diberikan dan tiada keperluan untuk mengarahkan anak guamnya untuk memasukkan jumlah ganti rugi berkenaan ke dalam satu akaun khas sehingga selesai rayuan.

“Pada ketika ini, segala aset yang berkait dengan defendan (Rosmah) telah dibekukan melalui injunksi Mareva dalam kes berlainan. Plaintif (Global Royalty Trading SAL) tidak perlu risau akan kehilangan ganti rugi kerana ia telah ‘dikunci’. Anak guam saya juga kini hanya mempunyai satu akaun bank yang hanya mempunyai wang kira-kira RM100,000.

“Sekiranya beliau mencairkan semua aset atau barangan berharga yang ada padanya, kemudian keputusan Mahkamah Rayuan berpihak kepada kami, beliau tidak akan dapat kembali segala barangan yang dicairkan dalam bentuk asalnya,” katanya.

Reza berkata, afidavit yang difailkan oleh syarikat barangan kemas yang berpangkalan di Lubnan itu tidak boleh diterima masuk kerana ia datang dari sebuah entiti luar negara dan tidak disenaraikan di bawah Jadual Pertama Akta Penguatkuasaan Penghakiman Timbal Balik 1958 (REJA).

REJA merupakan undang-undang Malaysia yang membenarkan pendaftaran dan penguatkuasaan secara pantas terhadap penghakiman kewangan daripada mahkamah atasan di negara-negara timbal balik tertentu, yang mana Lubnan bukanlah salah satu daripadanya.

Sementara itu, Venothani menghujahkan bahawa afidavit Global Royalty Trading SAL tidak boleh diterima masuk adalah sesuatu yang difikirkan kemudian kerana ia tidak pernah dipertikaikan sehinggalah keputusan dibuat pada 10 Julai lalu.

Katanya, Rosmah perlu membuktikan bahawa terdapatnya risiko sebenar bahawa Global Royalty Trading SAL tidak mampu atau tidak bersedia untuk membayar semula jumlah penghakiman sekiranya rayuannya berjaya.

Peguam itu turut menghujahkan bahawa injunksi sedia ada terhadap aset Rosmah tidak memberikan jaminan yang mencukupi kerana ia hanya menyekat urusan terhadap aset tertentu dan tidak menjamin bahawa aset tersebut akan tersedia untuk memenuhi jumlah penghakiman.

“Oleh itu, sekiranya mahkamah ini berhasrat untuk membenarkan penangguhan, ia hendaklah diberikan secara bersyarat iaitu sama ada defendan membayar keseluruhan jumlah penghakiman beserta faedah dan didepositkan ke dalam akaun pemegang amanah sehingga rayuan selesai,” katanya.

Pada 29 Mac 2023, Global Royalty Trading SAL menyaman Rosmah dan mendakwanya berbohong bahawa 44 barang kemas termasuk kalung berlian, anting-anting, cincin, gelang dan tiara yang diserahkan oleh ejen syarikat kepada beliau telah dirampas pihak berkuasa Malaysia.

Ia atas kesalahan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Syarikat itu mendakwa, hanya satu daripada 44 barang kemas terbabit berada dalam simpanan dan kawalan polis manakala baki 43 lagi tidak berada dalam jagaan mereka.

Global Royalty Trading SAL kemudian mendakwa bahawa Rosmah meletakkan tanggungjawab kepada Kerajaan Malaysia sedangkan sebenarnya barang kemas itu telah hilang. – UTUSAN

Scroll to Top