Kerajaan didakwa gagal turunkan peratusan kes bunuh diri

KUALA LUMPUR – Seorang wakil rakyat Pas menyifatkan masih ramai dalam kalangan rakyat negara ini masih belum memahami perbuatan membunuh diri diklasifikasikan sebagai jenayah.

Dr Ahmad Yunus Hairi (PN-Kuala Langat) berkata, atas aspek itu maka kerajaan didakwa masih gagal untuk menurunkan peratusan bunuh diri dalam negara ini.

“Cubaan bunuh diri ini sebelum ini sebagai kesalahan jenayah, adakah ianya bermakna bahawa hukuman atau akta undang-undang yang sedia ada telah gagal untuk kita implimentasi ke dalam negara kita, adakah satu kajian dibuat sama ada ianya benar tak dapat menghalang cubaan bunuh diri yang berlaku dalam negara kita.

“Sejauh mana dalam negara kita ini rakyat dalam negara faham atau mendapat maklumat bahawa cubaan bunuh diri ini adalah salah satu daripada kesalahan jenayah, saya kira sebahagian besar daripada masyarakat di luar sana tidak memahami undang-undang yang kita ada yang akhirnya saya kira kita gagal untuk menurunkan kadar bunuh diri dalam negara kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Kanun Keseksaan (Pindaan) 2023 di Dewan Rakyat hari ini.

Dr Ahmad Yunus yang juga Pesuruhjaya Pas Selangor itu khuatir dengan statistik daripada polis yang menyatakan masalah kemurungan antara punca berlaku cubaan membunuh diri.

Malah, katanya, ia turut melibatkan antara golongan remaja antara 13 hingga 17 tahun.

Justeru itu, beliau berkata, hukuman serta rawatan di hospital sahaja tidak mencukupi sebaliknya kerajaan harus mencari elemen lain yang mungkin boleh digunakan termasuk kaedah rawatan melalui sudut keagamaan.

“Saya melihat bukan sekadar hukuman bukan hanya sekadar rawatan di hospital tetapi daripada segi keagamaan, bagi orang Islam mungkin pendekatan agama itu sendiri sebagai salah rawatan untuk mereka pulih semula.

“Di British, sejarah perundangannya juga turut melibatkan berdasarkan faktor agama Kristian diambil sebagai satu dosa apabila melakukan bunuh diri, saya kira juga dalam negara kita Islam Agama Persekutuan.

“Ia satu dosa besar apabila melakukan bunuh diri dan ini kaedah boleh dilakukan terutamanya kepada masyarakat bergama Islam,” katanya lagi.

Rang Undang-Undang (RUU) Kanun Keseksaan (Pindaan) 2023 pertama kali dibentangkan Timbalan Menteri di JPM (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ramkarpal Singh pada 4 April lalu bagi bacaan kali pertama dan bacaan kali kedua dan diluluskan hari ini. – MalaysiaGazette