Kerajaan kaji semula pelaksanaan e-invois, caruman KWSP pekerja asing

Kerajaan kaji semula pelaksanaan e-invois, caruman KWSP pekerja asing

ISKANDAR PUTERI- Kerajaan bersetuju mengkaji semula pelaksanaan e-invois serta cadangan caruman dua peratus Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi pekerja asing.

Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada Rabu.

Menurutnya, perkara itu dibangkitkan BN bagi memastikan beban yang ditanggung syarikat dapat dipertimbangkan semula oleh Kementerian Kewangan (MOF).

“Saya sendiri telah bawa ke Jemaah Menteri dan keputusan tadi adalah supaya pelaksanaan e-invois ini dikaji semula supaya soal bebanan oleh pihak-pihak syarikat dapat dipertimbangkan semula oleh MOF.

“Begitu juga sumbangan dua peratus KWSP oleh syarikat yang menggaji pekerja asing, dapat diberikan pertimbangan semula. Ertinya, permintaan dari BN telah diambil kira oleh Jemaah Menteri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Program Ramah Mesra Pengerusi Barisan Nasional bersama pengundi Iskandar Puteri, di sini pada Rabu.

Dalam perkembangan sama, Ahmad Zahid berkata, Mesyuarat Jemaah Menteri turut membincangkan saranan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berhubung keputusan pengecualian cukai selama 10 tahun kepada TAR College yang menurutnya belum dilaksanakan.

Jelasnya, saranan itu mendapat respons yang sangat baik daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum dipersetujui Mesyuarat Jemaah Menteri.

“Jadi saranan Ka Siong adalah supaya keputusan lama untuk memberikan pelepasan cukai selama 10 tahun kepada TAR College telah dipersetujui tadi.

“Mereka cuma perlu untuk mengemukakan ‘audited annual account’ setiap tahun kepada MOF.

“Ini keputusan muktamad Jemaah Menteri, juga mendapat sokongan daripada menteri-menteri pelbagai parti,” katanya.

Ujar beliau, keputusan itu merupakan hasil perjuangan MCA yang merupakan parti komponen BN.

“Ini adalah perjuangan MCA dan Ka Siong yang amat jelas dan saya ucapkan terima kasih kepada kerajaan yang mendengar saranan daripada Presiden MCA, di mana MCA adalah komponen BN. Maknanya, desakan BN telah diluluskan,” katanya.

 

Scroll to Top